Gerhana matahari dan gerhana bulanmerupakan fenomena alam yang diciptakan oleh Allah swt untuk memperlihatkan tanda–tanda kebesaranNya. Berlakunya gerhana matahari disebabkan posisi bulan yang berada di antara matahari dan bumi sehingga menghalang cahaya matahari sampai ke bumi. Manakala gerhana bulan terjadi apabila keadaan bumi berada di antara matahari dan bulan yang menyebabkan bulan tidak memantulkan cahaya matahari ke bumi.
Pada zaman Nabi saw telah terjadi satu kali kejadian gerhana matahari. Menurut ulama, gerhana ini terjadi pada 29 Rabi’ul Awal tahun 10 Hijriah, iaitu pada akhir bulan Hijriah sedangkan gerhana bulan pula berlaku pada pertengahan bulan Hijriah, bertepatan dengan meninggalnya putera beliau yang tercinta iaitu Ibrahim.
Gerhana Bulan
Kejadian gerhana bukan disebabkan oleh kematian atau kelahiran seseorang sebagaimana teguran Rasulullah SAW terhadap para sahabat yang membuat pelbagai andaian tentang kejadian gerhana matahari yang berlaku berkebetulan dengan hari kewafatan anakandanya Ibrahim
Rasulullah shallallahu alaihi wasallam bersabda :
Dari Abu Mas’ud radhiyallahu anhu berkata: Nabi saw bersabda: “Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda kebesaran Allah, di mana Allah menakuti hamba-Nya. Tidak terjadi gerhana kerana kematian seseorang manusia, akan tetapi keduanya merupakan dua tanda kebesaran Allah, apabila kamu menyaksikannya, maka laksanakan solat dan berdoalah kepada Allah sehingga dikembalikan kembali oleh Allah”
(HR Bukhari dan Muslim, nas ini lafaz Muslim 4/463 hadits nomor 1516)
Apabila berlaku kejadian gerhana, baginda akan berdoa sehingga mengalirkan air mata kerana bimbang Allah SWT akan mengazab umatnya di sebabkan dosa dan maksiat yang mereka lakukan.
Ini menunjukkan betapa perlunya kita sebagai umat yang dikasihinya agar memohon keampunan daripada Allah SWT, bertaubat dari segala kesalahan yang telah kita lakukan.
Bertaubat dalam Islam bukan hanya menyebutnya di lidah tanpa pembuktian melalui amal dan perbuatan. Taubat hendaklah dilakukan dengan hati yang ikhlas tanpa paksaan dari mana-mana pihak. Segala kesalahan yang dilakukan hendaklah dikesali dengan sepenuh-penuh kesal dan berazam tidak mahu mengulanginya semula. Jika seseorang itu ada melakukan kesalahan dengan manusia maka hendaklah memohon maaf kepada orang yang dilakukan kesalahan itu bersungguh-sungguh.
Di samping bertaubat, dianjurkan juga supaya bersegera untuk melakukan perkara-perkara kebajikan iaitu berdoa, berzikir, bersembahyang, bertakbir dan bersedekah di jalan Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW,
“Maka jikalau kamu melihatnya berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, bersedekahlah serta bersembahyanglah”.
(Hadis riwayat Bukhari)
Namun ramai yang menilai gerhana menggunakan mata bukannya hati, di mana manusia menilai kejadian yang berlaku hanya dengan kaca mata semata-mata tanpa menoleh ke sisi syar’i. Mereka melihatnya dengan pandangan sekadar fenomena alam, tanpa melihat siapa yang menakdirkannya dan apa tujuannya.
Hati yang bersih dapat melihat jauh lebih dari pandangan mata
Ada juga yang percaya dengan cerita-cerita tahyul seperti serigala kejadian, hantu dan bermacam-macam lagi apabila gerhana berlaku. Dan lebih malang lagi anak kecil pun di ajar begitu.
Oleh itu umat Islam hendaklah menjauhi sebarang kepercayaan tahyul dan khurafat dari sebarang fenomena alam ciptaan Allah SWT. Mempercayai kepercayaan karut dan khurafat boleh membawa ke lembah syirik kepada-Nya.
No comments:
Post a Comment