Apa niat dan motif sebenar Adam menurunkan bendera Perdana Menteri?
Adam: Pada hari itu, matlamat kami berkumpul adalah untuk mengembalikan kebebasan berakademik kepada pelajar universiti dan seluruh dunia akademia. Bagi saya isunya bukan terletak kepada bendera itu diturunkan tetapi apakah bendera yang dinaikkan, iaitu bendera ‘Kebebasan Akademik’. Media tidak fokus kepada bendera ini.
Jadi mesej yang saya cuba sampaikan adalah kami tuntut kebebasan akademik untuk semua mahasiswa. Kenapa bendera Datuk Seri Najib Tun Razak yang saya pilih, ia kerana bendera Najib terletak di tiang yang paling tepi sekali dan paling mudah untuk dicapai.
Usaha untuk kebebasan akademik ini sudah berlanjutan sejak lama dahulu. Seperti diumumkan Najib baru-baru ini yang mahu meminda Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) Perkara 15, dengan harapan selepas itu pelajar boleh menyertai gerakan politik tetapi tidak boleh bergerak aktif dengan memegang jawatan-jawatan. Jadi untuk apa pindaan ini dilakukan? Adakah mahasiswa ini hanyalah kuli kepada parti-parti politik? Bagi saya itu satu penghinaan kepada pelajar.
Bukan maksud saya mahu semua pelajar menyertai parti politik dengan pindaan ini, pemimpin atas tidak nampak apa yang pelajar mahukan sebenarnya. Apa yang pelajar mahukan adalah berpolitik dengan tidak semestinya menyertai parti politik. Ia mestilah haluan mahasiswa sendiri dengan boleh mengkritik mana-mana kepimpinan dan dasar serta menerangkan kepada orang ramai tentang isu-isu yang mahasiswa bawakan. Jadi itulah dinamakan berpolitik tanpa perlu berpartisipasi.
Adakah tindakan Adam ini secara individual atau dipengaruhi oleh mana-mana pihak?
ADAM: Pada waktu itu, keadaan mahasiswa yang hadir menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah di PWTC sebenarnya muram. Ia kerana keadaan terlalu terkawal tanpa ada kekecohan. Bermula dari bangunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) lagi, kami berada di situ dalam tempoh yang agak lama, jadi kami bosan kerana tidak nampak kesan dari memorandum yang kami serahkan.
Setibanya di PWTC, kami harapkan ada pegawai yang menunggu, tapi tiada. Cuma Saifuddin sahaja bersetuju berjumpa dengan kami. Bila kami menyerahkan memorandum, semua pelajar mendengar ucapan daripada Saifuddin. Bagi saya ia tidak boleh jadi. Sebelum itu pelajar bersungguh-sungguh melaungkan kebebasan akademik tetapi apabila menteri datang terus jadi sama dengan pelajar lain. Nampak sahaja menteri, terus salam dan ambil gambar, bagi saya ini bukan cara sebenarnya. Jadi saya ambil bendera dan terus menurunkan bendera Najib digantikan dengan bendera Kebebasan Akademik.
Apabila pelajar lain nampak apa yang saya lakukan, barulah mereka merasakan ‘kemenangan’ bukan hanya jumpa menteri sudah rasa menang. Saya mahu perasaan kemenangan ini boleh dirasai oleh semua pelajar yang hadir pada hari itu.
Ramai yang mempertikaikan tindakan Adam ini sebagai provokasi kepada Umno kerana melakukannya di PWTC, adakah tindakan itu matang bagi Adam?
ADAM: Bagi saya ia matang bagi orang yang memahami isu dan menerima keadaan bahawa mahasiswa sekarang ditekan. Malah bagi saya, banyak lagi tindakan yang jauh lebih tidak matang yang dilakukan pihak-pihak lain seperti menyerahkan kek berupa tahi dan sebagainya kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng baru-baru ini. Adakah bagi mereka tindakan ini matang?
Bagaimana pula dengan kehadiran seorang ahli politik ketika kamu menyerahkan memorandum ini?
ADAM: Mengenai kehadiran ahli politik itu, saya tidak tahu kerana kami tidak pernah menjemput mana-mana ahli politik. Malah dalam Twitter, kami dengan keras menghalau dan memberi amaran supaya mana-mana ahli politik tidak hadir dalam demonstrasi kami pada hari itu. Kami bertegas program ini adalah milik mahasiswa seratus peratus, tiada pengaruh parti politik.
Kami mahu serius, kami turun berdemonstrasi ini bukan kerana terpengaruh dengan mana-mana parti politik, kami datang dengan matlamat yang jelas, iaitu membebaskan dunia akademik.
Adakah Adam sedar mengenai kesan yang bakal dihadapi dari tindakan menurunkan bendera ini?
ADAM: Saya sudah fikir semasak-masaknya, saya bukan orang bodoh. Dalam blog, Facebook dan Twitter ramai yang mengatakan tindakan saya ini bodoh, bangang dan sebagainya tapi saya ingin tanya semula, siapa yang bangang? Siapa yang bodoh?
Adakah mereka sedar tindakan turun naik bendera ini tidak pernah menjadi kesalahan mana-mana tempat dalam dunia ini? jadi saya tahu perkara yang salah dan betul. Jika tindakan itu dikira jenayah, sudah tentu saya teragak-agak untuk melakukannya. Ini adalah satu bentuk ekspresi saya. Sebab itu saya percaya mereka yang mengugut saya ini tidak tahu apa-apa langsung mengenai diri saya.
Kenapa pemimpin-pemimpin parti mengeluarkan ugutan kepada saya? Bagi saya sebabnya adalah kerana undang-undang menetapkan saya tidak bersalah. Mereka tahu tidak boleh mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap saya, sebab itu mereka keluarkan ugutan.
Adakah Adam risau dengan sebarang tindakan yang mungkin Universiti Perguruan Sultan Idris (Upsi) kenakan selepas ini?
ADAM: Memang sebelum buat saya risau, tetapi selepas melakukannya saya tidak lagi risau. Apa yang saya risau selepas tindakan menurunkan bendera hanyalah mengenai keselamatan saya. Saya tahu jika saya mahu belajar, saya boleh belajar di mana-mana sahaja. Bagi saya tidak perlu duduk dalam kampus untuk belajar. Saya tidak risau jika dibuang oleh universiti kerana ini jalan yang saya pilih.
Bagaimana pula penerimaan mak dan ayah Adam dengan apa yang telah berlaku?
ADAM: Ayah adalah orang pertama tahu perkara ini. Ayah bertanya tentang keadaan saya. Saya beritahu ayah, saya selamat dan berterima kasih dengan kawan-kawan yang membantu saya, tanpa mereka saya tidak tahu apa yang akan terjadi pada diri saya. Apabila saya bercakap dengan mak, mak kata jangan risau dan merestui perjuangan saya.
Sehingga hari ini saya masih berterusan berkomunikasi dengan keluarga saya dan memberitahu keadaan saya masih selamat. Saya pernah bertanya mak dan ayah tentang tindakan yang saya lakukan, adakah ia betul atau salah? Ayah kata, “sejak dari dulu lagi ayah yakin dengan apa yang kamu buat dan jangan patah balik, teruskan.”
Mak pula kata, “mak sokong kamu.” Saya amat kagum dengan ayah dan mak saya.
Mereka kata, jika mahu berjuang, maka berjuanglah menuntut kebenaran. Ayah dan mak saya bukanlah orang politik, dakwaan-dakwaan yang mengatakan mak saya penyokong kuat pembangkang adalah tidak benar sama sekali. Mak saya hanyalah seorang suri rumah. Sebagai mak dia tahu apa yang saya buat ini betul atau salah. Mak saya juga kata jangan takut kepada manusia, takut hanya pada ALLAH. Tiada patah balik bagi saya.
Apa yang saya tidak boleh terima apabila imej keluarga saya difitnah dengan pelbagai dakwaan. Orang yang membuat fitnah ini patut malu pada diri sendiri, mungkin mereka ini dengki kerana tidak mempunyai mak ayah yang menyokong seperti saya.
Apa tindakan Adam selepas ini sekiranya dikenakan tindakan oleh pihak Upsi?
ADAM: Untuk menggantung saya, pihak universiti perlu bicarakan saya. Untuk memanggil saya, perlu pastikan dulu keselamatan saya terjamin. Rakan-rakan Upsi saya ada hubungi, mereka berkata pihak Upsi ada mencari saya, mereka menyarankan saya jangan balik dahulu ke Upsi kerana ada pihak lain mencari saya. Saya juga difahamkan hotel-hotel sekitar Upsi tiba-tiba penuh ketika ini.
Apa yang Adam harapkan daripada tindakan turun bendera ini?
ADAM: Apa yang saya harapkan adalah sedikit perhatian daripada isyarat kepada orang yang masih belum sedar bahawa kepincangan yang berlaku dalam negara sudah teramat teruk. Cukuplah saya mahu menunjuk ekspresi saya dan tidak menyangka ia menjadi mainan media.
Selepas mendapat perhatian media, saya mula berfikir untuk pertahan atau mahu selamat. Untuk keselamatan saya bertawakal.
Adakah Adam mengharapkan tindakan ini bakal menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain yang mungkin bertindak lebih agresif?
ADAM: Ini mesej jelas daripada saya, sekarang masanya mahasiswa tidak perlu gentar lagi kerana sebagai mahasiswa kami boleh melihat sendiri penindasan yang berlaku. Kenapa mahasiswa harus gentar bila berhadapan dengan orang-orang yang diundi oleh kita sendiri? Orang-orang ini harus bekerja untuk kita. Jangan sesekali takut, jika tidak betul kami akan tegur, tidak kira dari sebelah manapun.
Saya tidak menggalakkan mahasiswa lain bertindak agresif tetapi apa yang saya harap supaya mahasiswa lain jadi lebih kreatif.
Apa pandangan Adam tentang Auku?
ADAM: Sebelum adanya Auku, universiti-universiti kita hebat dengan mahasiswa yang cukup baik. Contohnya seperti Universiti Malaya (UM) yang diiktiraf sebagai antara universiti terbaik dunia pada ketika itu. Malah mereka boleh capai pencapaian ini ketika pelajar tiada apa yang kita ada pada hari ini, mereka sudah buktikan.
Jadi soalnya kenapa perlu Auku? Adakah kebebasan undang-undang sedia ada masih tidak cukup? Bagi saya dan majoriti mahasiswa lain, dengan pemansuhan Auku, maka fungsi autonomi universiti dan pelajar akan dikembalikan ke tempat asal. Dunia akademia adalah tunjang kepada negara, mereka ini adalah kuasa ketiga. Kita tidak boleh halang kuasa ini.
Dahulu, pelajar mengadakan demonstrasi demi kepentingan rakyat, contohnya seperti isu Baling pada tahun 70an dulu, tetapi sekarang pelajar berdemonstrasi menuntut hak pelajar sendiri kerana kami tidak boleh membantu diri sendiri, bagaimana mahu tolong masyarakat lain? Ia menghalang fungsi sebenar mahasiswa.
Siapa idola Adam?
ADAM: Antara idola saya adalah John Lennon dan Cornelia Sorabji.
Apakah mesej Adam kepada yang memberi ugutan?
ADAM: Saya ingin memberitahu kepada mereka ini, bukan semua perkara seperti yang kita sangkakan. Ingin saya tegaskan di sini, bukan semua orang yang tidak berpuas hati kepada kerajaan mesti menjadi alat pembangkang, perlu jadi pencacai Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak sama sekali.
Tindakan saya itu tidak biadab, saya tidak pernah ancam keselamatan sesiapa pun, malah keselamatan saya yang terancam. Jika ada yang mengatakan tindakan saya turunkan bendera ini salah, maka dakwalah saya di mahkamah. Saya bersedia menghadapinya, tapi bukan dengan cara ugutan begini.
Jadi adakah Adam tetap dengan pendirian untuk tidak minta maaf kepada Perdana Menteri?
ADAM: Saya tidak akan minta maaf. Selepas perkara ini berlarutan sehingga ke tahap ini, tiba-tiba pula saya didesak untuk minta maaf. Bagaimana pula dengan rakan-rakan saya? Saya tidak mahu rakan-rakan saya jatuh semangat sekiranya saya minta maaf.
Bukan maksud saya selama-lamanya tidak meminta maaf, tidak. Pada satu tahap nanti saya perlu juga minta maaf kepada beberapa orang berikutan tindakan saya ini
No comments:
Post a Comment