CHENGDU – Seorang pengusaha ladang teh di China mendakwa berjaya menemui rahsia menghasilkan serbuk teh paling mahal di dunia, iaitu baja asli daripada najis beruang panda.
An Yanshi, 41, yang juga bekas seorang guru kaligrafi, sebelum ini membeli najis panda dari sebuah pusat pembiakan panda untuk dijadikan baja di ladang tehnya.
Dia berkata, daun teh pertama yang menggunakan baja najis haiwan itu yang akan dipetik awal musim panas ini, bakal menjadi serbuk teh paling mahal di dunia apabila dijual dengan harga hampir 220,000 yuan (RM109,293) bagi setiap 500 gram (g).
Penggemar minuman teh di China menyifatkan tuaian pertama daun teh berkenaan sebagai yang terbaik manakala daun teh tuaian berikutnya akan dijual pada harga 20,000 yuan (RM9,935).
Bagaimanapun, An yang begitu teruja dengan projek barunya hingga memakai pakaian berbentuk panda ketika ditemuramah sebuah agensi berita antarabangsa, dicemuh pengkritik di negaranya kerana mendakwa ‘teh panda’ ada kelebihan yang mereka anggap keterlaluan.
Namun, An bertegas bahawa dia benar-benar serius dengan apa yang didakwanya dan sanggup meletakkan jawatan sebagai tenaga pengajar di Universiti Sichuan untuk bergiat sepenuh masa dengan syarikat yang ditubuhkannya, Panda Tea.
“Najis beruang panda amat kaya dengan zat galian. Ia jauh lebih baik berbanding baja kimia,” katanya.
An berkata, walaupun penanaman ‘teh istimewa’ di ladang seluas satu hektar mempunyai tujuan komersial, misi utamanya ialah bagi meyakinkan dunia melindungi alam sekitar dan menggantikan baja kimia dengan baja asli daripada najis haiwan sebelum terlambat.
An berkata, walaupun penanaman ‘teh istimewa’ di ladang seluas satu hektar mempunyai tujuan komersial, misi utamanya ialah bagi meyakinkan dunia melindungi alam sekitar dan menggantikan baja kimia dengan baja asli daripada najis haiwan sebelum terlambat.
“Manusia perlu menjalin hubungan harmoni dengan bumi dan alam sekitar. Semua orang bertanggungjawab melindungi alam dan kehidupan mereka,” katanya.
An mendapat idea untuk menggunakan baja najis beruang panda selepas menghadiri satu seminar tahun lalu, apabila dimaklumkan bahawa haiwan itu hanya menyerap 30 peratus khasiat daun buluh yang dimakannya, manakala 70 peratus lagi dikeluarkan dalam bentuk najis berwarna kehijauan.
Dia juga yakin teh Panda akan mendapat sambutan hebat dan sudah mempatenkan idea itu bagi mengelak persaingan.
Dakwaan An bahawa teh Panda membantu mengurangkan berat badan dan melindungi penggemarnya daripada radiasi, bagaimanapun diperlekah beberapa laman web yang ragu mengenai dakwaannya dan harga teh itu yang terlalu mahal.
“Jika najis beruang adalah baja yang amat baik untuk pokok teh, saya mahu bertanya kepada guru ini.
“Mengapa anda tidak makan saja najis beruang itu. Anda boleh dapat sisa 70 peratus daripada khasiat yang dikeluarkannya,” kata seorang pelayar internet yang menggelarkan dirinya Baihuashu.
Seorang lagi pelayar internet yang menamakan dirinya 24-0 berkata: “Harga 200,000 yuan untuk 500 gram teh yang dibaja dengan najis panda? Adakah itu untuk minum teh atau minum darah panda?”
Di sebalik kritikan dan cemuhan itu An terus berazam untuk membesarkan perniagaannya.
“Selepas tuaian pertama, jika mutunya benar-benar hebat, saya akan berusaha membesarkan ladang dan menanam lebih banyak pokok teh,” katanya. – Agensi
No comments:
Post a Comment