JAKARTA: Penyanyi Indonesia Syahrini mengecam bintang remaja antarabangsa Justin Bieber kerana didakwa memperlekehkan negara itu.
Menerusi akaun Twitter peribadinya, penyanyi lagu Kau Yang Memilih Aku melahirkan kekecewaannya dan meminta Bieber untuk meminta maaf kepada rakyat Indonesia.
“Justin Bieber harus minta maaf kepada masyarakat Indonesia,” tegasnya menerusi kemas kini akaun Twitter, @PrincesSyahrini, pada Sabtu.
Terdahulu, kenyataan Bieber yang memperlekehkan kualiti studio rakaman di Indonesia mencetuskan kontroversi di kalangan rakyat republik itu.
Ketika ditemubual pada pelancaran album terbarunya Believe 2012 di London, England, baru-baru ini, penyanyi itu mengakui dia merakamkan salah sebuah lagu dalam album itu di Indonesia.
Dalam kenyataannya kepada akhbar Mirror, Bieber menyifatkan republik itu sebagai sebuah negara yang bercelaru dan tidak berpola. Dia turut mempertikaikan kualiti studio rakaman di Indonesia yang dianggap sangat teruk.
“Saya berada di sebuah negara yang bercelaru. Saya merakamkan sebuah lagu itu di sebuah studio yang kecil. Mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan,” kata Bieber dalam temu ramah itu.
Pengurusnya Scott “Scooter” Braun mengesahkan negara yang dimaksudkan Bieber adalah Indonesia.
Pengurus Syahrini iaitu Reindhy berkata, penyanyi itu terganggu dengan kenyataan dikeluarkan Bieber menerusi pelbagai media dalam talian mengenai Indonesia yang disifatkan sebagai tidak bersesuaian dan tiada etika.
“Syahrini terganggu dengan kenyataan Justin Bieber yang disiarkan beberapa media dalam talian.
“Menurut Syahrini kenyataan itu tidak beretika. Bukankah Justin mempunyai peminat yang ramai di sini. Apakah dia tidak menghargai perasaan masyarakat Indonesia?” ujar Reindhy kepada laman web detikHOT, pada Ahad.
No comments:
Post a Comment