20.5.11

KISAH SI ABID DAN SI PENCURI

Di zaman Nabi Musa alaihissalam ada seorang hamba ALLAH yang kerjanya mencuri.Sudah 40 tahun kerjanya mencuri.Suatu hari,dia terlihat Nabi Musa alaihissalam sedang berjalan.Terlintas di hatinya untuk berjalan bersama Nabi Musa alaihissalam.Katanya:''Kalau aku dapat berjalan bersama Nabi Musa,mudah-mudahan ada juga berkatnya untuk aku.''

Tetapi setelah difikirkan semula,dia tidak jadi melangsungkan niatnya itu.Dia berkata,''Aku ini pencuri.Manalah layak pencuri berjalan bersama seorang nabi.''Sejurus kemudian,dia terlihat seorang abid berlari-lari anak mengejar Nabi Musa alaihissalam dari belakang.Si abid ini telah beribadah secara istiqamah selama 40 tahun dan dikenali orang ramai.Si pencuri itu berkata dalam hatinya,''Baik aku berjalan bersama si abid ini.Moga-moga ada juga baiknya untuk aku.''

Lantas si pencuri menghampiri si abid dan meminta kebenaran untuk berjalan bersamanya.Apabila ternampak sahaja si pencuri,si abid terkejut dan merasa takut.Dia berkata dalam hatinya,''Celaka aku!Kalau si pencuri berjalan bersama aku,takut-takut rosak segala kebaikan dan amalanku.''

Si abid terus berjalan laju supaya si pencuri tidak dapat ikut.Si pencuri terus mengikut si abid kerana hendak berjalan bersamanya.Akhirnya kedua-dua mereka sampai serentak kepada Nabi Musa alaihissalam.

Nabi Musa alaihissalam terus berpaling dan bersabda kepada mereka berdua,''Aku baru sahaja mendapat wahyu dari ALLAH TAALA supaya memberitahu kamu berdua bahawa segala amalan baik dan buruk kamu telah dimansuhkan oleh ALLAH.''Maka terkejutlah si abid dan si pencuri tadi.Berbahagialah si pencuri kerana segala dosanya mencuri selama 40 tahun telah diampunkan oleh ALLAH.Celaka dan dukacita si abid kerana segala amalan dan ibadahnya selama 40 tahun ditolak dan tidak diterima oleh ALLAH.

Rupa-rupanya si pencuri itu,walaupun kerjanya mencuri,dia tidak suka akan perbuatannya itu.Dia miskin dan tanggungannya banyak.Masyarakat ketika itu sudah rosak dan orang kaya enggan membantu orang miskin.Dia mencuri kerana terpaksa.Oleh itu,setiap kali dia mencuri,dia amat berasa bersalah dan berdosa.Jiwanya terseksa dan menderita.Selama 40 tahun dia menanggung rasa berdosa itu dan selama itulah juga jiwanya parah menanggung derita.Selama 40 tahun hatinya merintih meminta belas kasihan,keampunan dan mengharapkan kasih sayang Tuhan.

Si abid pula amat yakin ibadahnya mampu menyelamatkannya.Dia yakin ibadahnya akan dapat membeli syurga.Setiap kali dia beribadah,dia rasa dirinya
bertambah baik.Setiap kali dia beribadah,dia rasa dirinya bertambah mulia.Selama 40 tahun si abid ini mendidik hatinya supaya merasa lebih baik dan lebih mulia setiap kali membuat ibadah.Sehinggakan dia rasa tidak layak bergaul,inikan pula berjalan bersama orang yang hina dan berdosa.Dia rasa dia hanya layak berjalan bersama para Nabi.

Maha suci ALLAH yang amat mengetahui segala isi hati manusia.Yang tidak melihat akan amalan-amalan lahiriah tetapi apa yang ada dalam hati.Yang menilai hambaNYA mengikut apa yang termampu oleh hambaNYA dan tidak lebih dari itu.Yang menguji manusia dengan kesusahan dan nikmat untuk mengetahui siapa di kalangan hamba-hambaNYA yang benar-benar berjiwa hamba dan merasa bahawa ALLAH TAALA itu Tuhannya.

#moga semua yang membaca kisah ini(termasuk si penaip yang lemah dan hina ini) dapat mengambil pengajarannya..kadang-kadang akan timbul rasa riyak dalam diri bila merasa diri lebih baik berbanding orang lain...ingatlah....riyak adalah salah satu bentuk syirik yang mana syirik adalah dosa besar yang tidak akan diampunkan oleh ALLAH TAALA.....:)

No comments:

TUDUNG DENIM IRONLESS NARINA

Tudung Tahan Lasak dan IRONLESS. Siapa tak suka kan?  Tudung yang jimat masa untuk bersiap, malah senang untuk dijaga! Paling come...