[iLuvIslam] Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya : "Sesungguhnya tujuh petala langit dan bumi sama mengutuk orang yang selalu berzina dan bau kemaluan pelacur di dalam neraka dapat mengganggu ahli neraka kerana sangat busuknya". (Riwayat al-Bazzar)
MenjauhiNya
Di antara sifat orang-orang mukmin yang sebenar adalah menjaga kemaluannya dari perbuatan zina kerana zina adalah termasuk dalam kategori dosa-dosa besar (al-kaba'ir) disamping menyekutukan Allah, meminum minuman keras, berjudi, mencuri dan membunuh.
"Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk". (Al-Israa': 32)
Larangan zina yang digunakan di dalam al-Quran ini mempunyai makna yang sangat mendalam iaitu bukan hanya perzinaan sahaja dilarang, tetapi segala-gala yang menjadi pintu ke arah itu adalah dilarang sama sekali seperti memandang aurat wanita, mendengar perkara yang boleh menaikkan nafsu seperti kelunakan suara, bergaul bebas antara lelaki dan wanita, berdua-duaan dengan orang yang bukan muhrim dan sebagainya. Etika berpakaian juga harus dititikberatkan di mana pakaian seorang muslimah itu wajib memenuhi fungsi dasarnya iaitu menghindarkan seseorang dari dorongan berahi kerana jika aurat tidak ditutup dengan sempurna ia akan mengundang berlakunya kejadian rogol atau perbuatan zina yang boleh merosakkan maruah individu yang terlibat. Hari ini seakan menjadi "trend" kebanyakan pakaian yang dipakai terlalu pendek, ketat dan nipis. Fenomena seperti ini patut dicegah demi kesejahteraan seluruh masyarakat. Segala saluran yang dikira boleh membawa manusia kepada perzinaan seperti rumah-rumah pelacuran, disko-disko, rumah-rumah urut dan sebagainya hendaklah dicegah dan ditutup keseluruhannya. Jika tidak akan berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini.
Rasulullah saw telah bersabda yang maksudnya: "Mana-mana lelaki tidak akan berdua-duaan (berkhalwat) dengan perempuan, melainkan pasti syaitan akan menjadi yang ketiga". (at-Tirmidzi)
Wanita adalah dilarang berkhalwat dengan lelaki yang bukan muhrimnya di mana berkhalwat tidak semestinya berlaku di dalam rumah sahaja tetapi ia juga boleh berlaku di tempat-tempat yang sunyi tanpa dihadiri atau dilihat oleh orang ramai seperti di taman, tasik, pejabat dan sebagainya.
Perlu diingat syaitan merupakan makhluk yang bijak (menghasut). Selagi ada kesempatan yang terluang, ia akan menggoda manusia untuk melakukan perbuatan yang terkutuk.
Oleh itu kita hendaklah sentiasa berwaspada. Jangan sekali-kali menghampiri pintu yang menghumban ke neraka seperti melakukan khalwat yang akhirnya menjebakkan diri kepada zina dan sebagainya.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Tiga golongan manusia yang Allah tidak akan bercakap dengan mereka di hari kiamat, tidak menganggap mereka sebagai orang yang bersih, tidak melihat kepada mereka, dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dengan azab yang sangat pedih. Mereka ialah orang tua yang berzina, raja atau pemimpin yang suka berbohong dan orang miskin yang sombong". (Riwayat Muslim)
Allah S.W.T. amat benci kepada tiga golongan manusia. Tiga golongan tersebut adalah orang tua yang masih tidak meninggalkan perbuatan zina, pemimpin yang bercakap bohong dan orang miskin yang sombong. Segala perbuatan yang dilarang oleh agama hendaklah dijauhi dan seandainya seseorang itu terjerumus ke lembah dosa dan noda maka hendaklah dia segera bertaubat agar dosanya diampunkan oleh Allah. Siksaan di akhirat adalah amat pedih. Oleh itu selagi hayat dikandung badan, pergunakanlah masa sepenuhnya untuk memperbanyakkan amal ibadat agar kehidupan di dunia dan akhirat mendapat keredhaan daripada Allah S.W.T.
وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓۖ إِنَّهُ ۥ كَانَ فَـٰحِشَةً۬ وَسَآءَ سَبِيلاً۬
Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).
(Surah Al-Isra' 17 : Ayat ke 32)
No comments:
Post a Comment