9.5.11

Anak Kartika Sari Ditemui Lemas Di Sungai Perak


Sungai Siput: Mayat anak sulung bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi, yang dilapor hilang dua hari lalu, ditemui terapung di Sungai Perak di sini awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supt Azman Salim, berkata mayat Muhammad Azfar Mohamad Afandi, 9, ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada 1 pagi tadi, kira kira satu kilometer dari tempat mangsa dipercayai terjatuh.

"Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat dan dijangka dituntut keluarganya tengah hari ini untuk dikebumikan di Kampung Jawang, Karai," katanya ketika dihubungi.

Azman berkata, kanak-kanak itu disedari hilang oleh keluarganya pada 12 tengah hari Jumaat lalu ketika tinggal di inap desa milik keluarga mereka di sini yang terletak berhampiran sungai tersebut.

Katanya, gerakan mencari dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), RELA dan penduduk kampung dilakukan sejurus menerima laporan kehilangannya. - BERNAMA



Anak Kartika hilang ketika tonton TV

PASUKAN bomba dan penyelamat menyusuri Sungai Perak menjejaki Muhammad Azfar, semalam.


SUNGAI SIPUT: Sambutan Hari Ibu semalam disambut dengan air mata kegembiraan oleh kebanyakan ibu, namun Kartika Sari Dewi Shukarnor, 33, menyambutnya dengan tangisan keresahan selepas anak sulungnya berusia sembilan tahun yang hilang sejak tengah hari kelmarin.

Malah, Kartika Sari Dewi yang pernah mencetuskan kontroversi kerana mahu disebat selepas terlanjur meminum arak, tidak menyangka mimpi aneh dialaminya sejak dua minggu lalu petanda sesuatu menimpa Muhammad Azfar Muhammad Affandi.

“Sejak dua minggu lalu, saya sering bermimpi ular... ular berwarna putih dan bercahaya. Malah, ular itu turut membelit anak saya sebelum menariknya ke dalam lubang,” katanya ketika ditemui di inap desa milik keluarganya di Kampung Jawang di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin, Muhammad Azfar yang mengalami masalah pertuturan dan kecacatan akal dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya ketika menonton televisyen di inap desa itu.

Kartika Sari Dewi berkata, beliau berada di inap desa itu sejak sebulan lalu bagi menguruskan usaha membangunkan kawasan berkenaan.

Beliau bagaimanapun yakin anaknya dapat ditemui dengan selamat sekiranya ditakdirkan dia hilang di kawasan hutan berhampiran.
“Saya percaya dia tidak terjatuh dalam sungai kerana sepanjang berada di inap desa ini sejak kecil, dia tidak berani untuk pergi ke sungai itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim, berkata operasi mencari dan menyelamat disambung pagi semalam selepas usaha mencari kanak-kanak itu sejak petang kelmarin tidak berhasil.

Beliau berkata, operasi yang disertai 113 orang termasuk penduduk kampung dihentikan kira-kira jam 3 pagi semalam di mana skop pencarian diperluas di kawasan hutan kecil dan belukar tebal di sekitar inap desa berkenaan. -BH

No comments:

TUDUNG DENIM IRONLESS NARINA

Tudung Tahan Lasak dan IRONLESS. Siapa tak suka kan?  Tudung yang jimat masa untuk bersiap, malah senang untuk dijaga! Paling come...