KUALA LUMPUR - Tiada kelulusan akan diberi kepada penganjur perhimpunan 'Bersih 4.0' yang dirancang oleh Majlis Tindakan Peniaga-peniaga Kuala Lumpur, dengan matlamat membuka 60 gerai perniagaan di hadapan rumah Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga selama dua hari, minggu ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata, aktiviti yang dirancang itu bercanggah dengan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Menurutnya, aktiviti tersebut memberi imej buruk kepada negara dan menggambarkan sikap pihak berkenaan yang terikut-ikut dalam melakukan sesuatu perkara yang melanggar undang-undang.
"Jika mahu adakan perhimpunan, perlu merujuk kepada Akta Perhimpunan Aman. Tetapi apabila pergi ke sesuatu kawasan dengan membuka pasar dan sebagainya, ia adalah tidak dibenarkan keran kita ada Akta Jalan , Parit, dan Bangunan yang kita tidak benarkan aktiviti tersebut.
"Mereka mesti meminta kelulusan dari DBKL tetapi jika ditanya kepada saya, saya tidak akan benarkan," katanya semalam.
Beliau berkata, hasrat kumpulan berkenaan untuk melakukan protes dalam bentuk tersebut bersifat tidak produktif dan membuatkan 'tumpuan kerja' terpaksa dialihkan untuk perkara tersebut.
Katanya, apa yang lebih penting adalah menghormati orang lain kerana dalam konteks tersebut, terdapat pihak lain yang tiada kaitan akan terganggu.
"DBKL juga banyak perkara lain yang perlu ditumpukan kerana bila perkara ini dibuat, tumpuan terpaksa diberikan untuk perkara ini.
"Kalau boleh sudahlah, apa cerita tidak habis-habis lagi. Sebagai Datuk Bandar, saya nasihatkan tidak perlulah, cukuplah," katanya.
Ahmad Fuad menambah, perkara tersebut tidak akan menemui penamatnya apabila banyak pihak yang saling berbalas.
"Sebelum ini saya dengar ada yang mahu pergi ke rumah Datuk Khalid (Abu Bakar) , tidak tahu bila, esok mahu pergi rumah Datuk Bandar pula," katanya berseloroh.
Majlis Tindakan Peniaga-peniaga Kuala Lumpur yang dipengerusikan oleh Datuk Jamal Md Yunos mahu membuka 60 gerai di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara pada 24 dan 25 Mei ini sebagai tanda protes daripada pihak peniaga yang mengalami kerugian dalam Bersih, Bersih 2.0 dan Bersih 3.0.
Mereka mahu pergi ke DBKL pagi ini untuk mendapatkan kebenaran mengadakan gerai di kawasan itu.
hahha...nasib baik Datuk Bandar ni cerdik!
No comments:
Post a Comment