Shahrizat Mesti Berundur Tanpa Syarat!
Wanita Umno perlu tegas menolak Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang sudah terpalit dengan skandal Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) kerana ia peluang terbaik membersihkan imej parti.
Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, tindakan Wanita Umno mengadakan perhimpunan khas Jumaat lalu merupakan satu tindakan yang mundur dan tidak akan mengangkat martabat wanita kerana akan menyulitkan lagi pergerakan sayap itu.
Katanya, tindakan itu mencerminkan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib yang gagal membuat transformasi Umno dalam menangani krisis kepimpinan parti.
“Saya menyeru wanita Malaysia menjauhkan diri daripada sayap Umno yang tidak berupaya mengeluarkan diri mereka dari gelumang seperti lembu yang dicucuk hidung.
“Zaman telah berubah, saya percaya wanita Malaysia akan menolak pergerakan Wanita Umno yang lemah dan tidak berprinsip,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Jumaat lalu, Najib mengumumkan bahawa Shahrizat kekal sebagai Ketua Pergerakan Wanita Umno berdasarkan pilihan majoriti anggota pergerakan.
Katanya, tiada sebab untuk Shahrizat meletakkan jawatan selepas menghadiri Perhimpunan Wanita Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang dihadiri kira-kira 7,000 anggota wanita dari seluruh negara.
No comments:
Post a Comment