12.3.12

Sakit misteri landa Uganda



KEADAAN cuaca yang kering-kontang dan kesukaran mendapatkan makanan membuatkan kanak-kanak yang menghidap penyakit misteri ini hilang daya tahan.



DALAM keadaan berbogel, Patrick Anywar, 14, secara perlahan-lahan mengerekot dan bersungguh-sungguh untuk menghampiri adik lelaki dan perempuan yang sedang bermain di hadapan rumahnya.
Suasana di perkampungan yang dikenali sebagai Tumangu yang terletak di Uganda itu kering kontang dan ia bertambah buruk apabila cuaca panas menjadikan debu dapat dilihat jelas dengan mata kasar.
Selepas beberapa minit berusaha, Anywar yang kurus kering itu rebah. Sebenarnya, dia adalah antara 3,000 kanak-kanak di Utara Uganda yang menderita dengan penyakit misteri yang dipanggil penyakit sawan angguk (nodding desease).
Difahamkan penyakit itu dialami oleh setiap keluarga di Tumangu. Dianggarkan ratusan remaja telah terbunuh.
Sejak beberapa tahun lalu, sejumlah saintis telah melakukan kajian namun gagal untuk mengesahkan punca penyakit berkenaan.
Pakar hanya berupaya menyimpulkan bahawa penyakit itu hanya memberi kesan hanya kepada kanak-kanak.
Berdasarkan penelitian, simptom penyakit itu akan dimulai dengan pesakit akan mula merasa lesu, tumbesaran terbantut, sawan, mental terganggu dan akhirnya akan kebuluran.
Ibu Anywar, Rugina Abwoyo sudahpun kehilangan seorang anak lelaki, Watmon pada dua tahun lalu.
“Dulu dia mampu berjalan dan berlari seperti kanak-kanak lain, kini, perlu ada seseorang yang harus duduk rumah dan menjaga dia (Anywar).
“Penyakit ini sungguh teruk kerana menjadikan dia susah untuk makan dan juga minum,” kata Abwoyo.
Dalam pada itu, Joe Otto yang juga seorang sukarelawan kesihatan menjelaskan mengenai penyakit pelik yang melanda kampungnya di utara ibu kota Kampalaitu tersebut.
Ujarnya: “Terdapat seramai 780 orang penduduk di kampung itu dan kita merekodkan 97 kes. Secara purata, ia dihidapi oleh setiap keluarga di sana.”
Selaku sukarelawan, Otto memberitahu, dia selalunya akan mengayuh basikal untuk mengambil bekalan ubat-ubatan yang jarang-jarang dihantar.
“Kita memberi mereka ubat untuk epilepsi (sawan) seperti carbamazepine tapi penyakit angguk bukan seperti epilepsi,” terangnya.
Penyelidikan
Para saintis sedang giat berusaha untuk mencari penawar kepada penyakit ganjil ini. Sejak tahun 2010, ramai penyelidik daripada pelbagai bidang seperti neurologi, epidemiologi, toksikologi, psikiatrik malah pakar alam sekitar dikumpulkan untuk melakukan kajian demi kajian.
Antara hasil penyelidikan setakat ini mendapati kemungkinan penyakit itu mempunyai kaitan dengan parasit khusus yang berupaya membuatkan seseorang itu buta (onchocerciasis) selain disebabkan kekurangan makanan seimbang.

UGANDA tidak hanya berdepan dengan masalah penyakit dan kebuluruan tetapi usaha republik itu untuk mengakhiri perang saudara yang tidak berkesudahan juga menemui jalan buntu.



“Kita melihat semua faktor itu tetapi malangnya kita tak mampu untuk mengenal pasti faktor yang paling tepat menyebabkan penyakit itu,” ujar pegawai dari Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang berpangkalan di Kampala, Miriam Nanyunja.
Bagi Uganda, keputusan atau hasil kajian yang dijalankan oleh pelbagai pihak menimbulkan lebih banyak soalan daripada jawapan. Saintis juga dikatakan tidak tahu sama ada penyakit itu adalah wabak yang serupa yang menimpa Sudan Selatan atau Tanzania.
Namun, perkara paling membingungkan mereka adalah mengenai penyakit angguk itu yang hanya dihidapi golongan kanak-kanak.
Pada bulan lalu, setelah mendapat tekanan daripada penggubal undang-undang dari kawasan-kawasan yang terjejas, Kementerian Kesihatan Uganda merangka pelan kecemasan untuk mengecam dan mengatasi penyakit itu.
Bagaimanapun kata Nanyunja, perkara yang mampu dilakukan oleh para doktor hanyalah mencuba sebaiknya untuk mengurangkan gejala penyakit itu.
Bagi Anywar yang semakin terbatas pergerakannya, sebarang percubaan dan inisiatif pelbagai pihak, mungkin sudah terlambat untuknya.
“Kami berharap para doktor bekerja keras untuk mendapatkan ubat untuk merawat penyakit ini.
“Masa depan keluarga ini bertambah gelap apabila anak-anak saya semua terkena jangkitan. Namun, saya berdoa agar Anywar dapat diselamatkan,” kata Abwoyo menaruh harapan tinggi. – AFP

No comments:

TUDUNG DENIM IRONLESS NARINA

Tudung Tahan Lasak dan IRONLESS. Siapa tak suka kan?  Tudung yang jimat masa untuk bersiap, malah senang untuk dijaga! Paling come...