Saya nak pesan kepada semua wanita - anak dara, isteri orang ataupun janda - andai ada lelaki yang merenung dada anda dengan pandangan yang luar biasa, anda hanya perlu berkata: “Saudara, janganlah percaya pada kajian itu ...”
Ini kerana, dia mungkin sudah ‘disampuk’ oleh laporan jurnal perubatan, New England Journal of Medicine bahawa lelaki yang merenung payu dara wanita (perlu disebut wanita kerana jenis yang tidak berjenis itu tidak terlibat dengan kajian ini) selama 10 minit, usianya bertambah sehingga enam tahun.
Pakar yang mengetuai kajian itu, Dr Karen Weatherby berkata, tempoh 10 minit merenung payu dara wanita kesannya dari segi kesihatan bagi lelaki, menyamai bersenam selama 30 minit di gimnasium. (Saya tertanya-tanya mengapa dipanggil payu dara walaupun yang ‘membawanya’ ke sana ke sini bukan semestinya anak dara sahaja.)
Dr Weatherby bersama kumpulan penyelidiknya dikatakan menjalankan kajian itu selama lima tahun, melibatkan 200 lelaki Eropah. Tempoh yang lama itu barang kali sengaja ‘dilamputinggikan’ supaya orang ramai lebih yakin dengan penemuan mereka.
Jadi, kepada wanita, jika dada anda menjadi sasaran renungan, ingatlah bahawa lelaki yang merenung itu hanya mahu umurnya panjang, bukan untuk apa-apa!
Secara peribadi, saya sendiri meragui usia seseorang boleh jadi panjang hanya dengan merenung dada wanita. Tetapi saya pasti tidak menafikan jika yang dikatakan bertambah panjang itu bukan usia.
Apa pun, kita kena faham bahawa yang mengkaji itu bukan Islam. Yang dikaji, pun kita percaya bukan Islam. Dan yang meyakininya, biarlah bukan Islam juga.
Kita yang Islam, ada pegangan tersendiri mengenai usia, iaitu apabila tibanya ajal, tidak akan terlewat, atau terawal walaupun sesaat. Apa yang kita boleh lakukan hanya dengan berdoa minta ALLAH SWT memanjangkan usia, bukan dengan merenung dada wanita.
Bayangkanlah, jika satu kelompok masyarakat yang besar meyakini fakta kajian ini, bagaimana nasib golongan wanitanya?
Di mana-mana juga, dan pada setiap masa, mereka sudah tentu akan menjadi sasaran renungan oleh semua lelaki atas satu sebab yang disarankan oleh fakta kajian kumpulan cerdik pandai itu yang diiktiraf oleh sebuah institusi yang diiktiraf dan disiarkan pula dalam jurnal perubatan yang diperakui.
Ya, saya katakan semua kerana sudah tentu semua orang mahu berumur panjang. Ada yang tidak mahu berumur panjang? Jika ada, sila angkat tangan!
Saya sendiri pun akan buat begitu - jika saya berkeyakinan dengan fakta itu - malah di depan isteri pun saya berani untuk merenung dada wanita lain. Jika ditegur, saya sudah siap satu soalan khusus yang mahu ditanya kepada isteri: “Apa awak suka jika saya mati cepat?
Awak tak sayangkan saya???”
Anda sendiri pun tahu jawapannya. Maka dengan itu, bebaslah untuk saya merenung dada mana-mana wanita yang saya suka.
Dan jika dia tanya mengapa saya hanya renung dada wanita muda, pun juga saya ada jawapannya: “Doktor mata pun nasihatkan, kalau mata kita letih, kita kena renung sesuatu yang segar, fresh, bukan yang sudah layu. Saya bukannya apa, bimbang kalau merenung yang sudah layu, akan buat saya pendek umur.”
Tetapi, itu hanya jika saya meyakini kajian oleh Dr Weatherby dan Rakan-rakan, sedangkan hakikatnya, saya tidak percaya!
Seorang kawan, lain pula pandangannya ketika kami berbincang mengenai topik ini.
Tanpa sebarang kajian, dia membuat kesimpulan seperti ini: Ada kemungkinan jika direnung payu dara yang sama setiap hari, boleh pendek umur. Sebab itu, lelaki dibolehkan berkahwin sampai empat kerana dengan merenung empat pasang payu dara yang berlainan, umur boleh panjang!
Seperti penemuan kajian Dr Weatherby dan Rakan-rakan, saya nak nasihatkan, pendapat kawan saya ini pun janganlah anda percaya!
sh 30 Mac 2012
No comments:
Post a Comment