Siti Noor Edayu dan suaminya
Kemalangan yang meragut nyawa Siti Noor Edayu dan suaminya semalam.
Siti Noor Edayu dan suaminya
Kemalangan yang meragut nyawa Siti Noor Edayu dan suaminya semalam.
KUALA LUMPUR - “Tolong jaga anak saya baik-baik,” itulah pesanan terakhir Allahyarham Siti Noor Edayu Roslan, 26, kepada penjaga anaknya sebelum dia bersama suaminya, Mohd Hafeeze Mohd Hanafi, 30, maut dalam kemalangan di Jalan 15/56 AU3, Keramat, di sini, pagi semalam.

Bapa Allahyarham Siti Noor Edayu, Pegawai Penyiasat Trafik Kuala Lumpur, Sarjan Roslan Jalil, berkata dia tidak menyangka itu adalah kata-kata terakhir anaknya setelah dimaklumkan oleh penjaga cucunya.

Menurutnya, ia adalah sesuatu yang di luar jangkaan kerana mereka semua menanti kelahiran anggota keluarga baru.

“Kali terakhir kami sekeluarga berbuka puasa bersama pada Isnin lalu, Allahyarham ada memberi sejumlah wang untuk diadakan majlis kenduri pada hari raya Aidilfitri,” katanya.

Pasangan itu meninggalkan seorang anak lelaki, Mohd Hanif Hafeeze berusia dua tahun.

Dalam kejadian pada jam 7 pagi itu, Hafeeze bersama Edayu Roslan yang hamil tujuh bulan, baru menghantar anak sulungnya di rumah pengasuh.

Hafeeze, seorang anggota tentera yang bertugas di Bahagian Gaji, Kementerian Pertahanan di sini dalam perjalanan menghantar Edayu yang berkhidmat sebagai kerani di sebuah syarikat di Cheras.

Kedua-dua mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda Z, dirempuh dari belakang oleh sebuah bas semasa berhenti di satu persimpangan lampu isyarat.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP Abdullah Roning, berkata mangsa dirempuh bas yang datang dari arah Flat Polis Cempaka menghala ke Taman Setiawangsa.

“Kejadian itu dipercayai berlaku ekoran kegagalan pemandu bas mengawal kenderaannya ketika menuruni bukit lalu melanggar mangsa yang sedang berhenti di belakang sebuah bas sekolah yang lain di persimpangan itu,” katanya.

Menurutnya, pelanggaran itu menyebabkan pasangan itu tersepit di antara dua bas. Hafeeze maut di tempat kejadian manakala isterinya meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

“Kita masih menyiasat kejadian tersebut. Ia berkemungkinan berpunca daripada kegagalan sistem brek bas terbabit,” katanya.

Beliau berkata, mayat mereka dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

Sementara itu, saksi Saiful Azhar Ismail berkata, kemalangan tragis itu berpunca daripada bas yang dipandu laju ketika menuruni bukit yang curam sehingga gagal dikawal dan bergesel dengan sebuah kenderaan sebelum merempuh sebuah motosikal.

Menurutnya, dia dalam perjalanan ke tempat kerja melihat bas sekolah yang menuruni bukit dengan laju cuba mengelak sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan sebelum merempuh pasangan itu.

“Sebelum melanggar motosikal itu, saya nampak bas tersebut cuba mengelak kereta jenis Mercedes, lalu merempuh motosikal yang dinaiki mangsa di hadapannya, menyebabkan mereka tersepit di antara dua bas,” katanya.

Menurutnya,  kemalangan maut itu melibatkan sekurang-kurangnya sembilan kenderaan iaitu dua bas, lima kereta dan dua motosikal.