CHEONG ketika mengenakan pakaian seperti Jong-il. Gambar kecil, Jong-Il menjadi pemimpin tertinggi Korea Utara selama 17 tahun.
LONDON: Rupa fizikal seorang lelaki yang kelihatan seperti bekas diktator Korea Utara, Kim Jong-il, menyebabkan dia hidup membujang sehingga kini.
Bekerja sebagai tukang paip di London Barat, William Cheong, 43, ternyata gagal menarik perhatian mana-mana wanita yang melihatnya tidak lebih daripada ‘jelmaan’ Jong-il.
Berasal dari Acton, Cheong berkata, sehingga kini dia masih bujang dan tidak mempunyai anak.
“Saya berharap dapat bertemu dengan wanita yang sesuai, tapi nampaknya, wajah seperti Jong-il ini tidak membantu,” katanya.
Selain wajah, ketinggian Cheong juga sama seperti Jong-il, iaitu 1.6 meter.
Dikenali sebagai KT di kalangan rakannya, Cheong berharap, kematian Jong-il akibat serangan jantung pada Disember tahun lalu mampu mengubah nasibnya.
Katanya, selepas Jong-il mati, mungkin nasibnya dalam percintaan menjadi lebih baik.
“Masalahnya, imej Jong-il itu masih segar dalam minda kebanyakan orang,” katanya.
Menurut Cheong, dia berasa sunyi - sama seperti watak diktator itu yang digambarkan dalam filem komedi aksi satira terbitan 2004, Team America: World Police.
Katanya, walaupun mungkin ada sesetengah pihak menganggap persamaan fizikalnya dengan Jong-il sesuatu yang istimewa, dia sendiri tidak beranggapan begitu.
“Cuma satu-satunya kelebihan saya ialah, menarik perhatian beberapa pihak untuk muncul sebagai watak Jong-il dalam iklan komersial,” katanya.
Baru-baru ini, dia muncul dalam iklan untuk sebuah firma telefon Denmark dengan membawa watak Jong-il.
Sementara itu, rakan Cheong berkata, kematian Jong-il gagal mengubah nasib lelaki terbabit.
“Cheong lelaki penyayang dan memiliki sebuah rumah menarik.
“Dia memiliki apa yang diperlukan untuk berkongsi hidup dengan seorang wanita, tetapi masalahnya, dia selalu disalah anggap.
“Penampilan semula jadinya seperti Jong-il gagal menarik perhatian mana-mana wanita,” katanya. - TS
No comments:
Post a Comment