19.3.11

Cicak Tokek Jutawan Gedik



Cicak terbesar didunia iaitu cicak tokek seberat 64 kilogram

Ini ke cicak tokek yang diceritakan oleh Ain Maisarah dalam Jutawan Gedik? Sesiapa yang dah katam baca cerita ni pasti tahu apa kesudahannya.....tapi ai hanya baca di berita harian setiap Sabtu....memang best....kalau ai yang remaja purba ni pun sengih2 baca apa lagilah remaja belia kan.....huhu......tak sabar nak tunggu sambungan setiap minggu.....

Linda jadi orang pertama yang menggeleng tidak henti-henti. “Saya rasa macam bermimpi. Zaman sekarang, cicak pun orang sanggup dibeli!” 

Diana pun bersetuju, “Siapa sangka, harga binatang menggerutu itu mencecah ratusan ribu ringgit! Satu info pelik lagi ajaib!” 

Tiba di kantin pun, The Wannababes tidak lalu minum atau makan. Mereka lebih leka berbincang tentang strategi cicak tokek yang diutarakan kumpulan Wobert Wiok, dalam usaha mahu jadi jutawan. 

Paling berkerut adalah Fasharina bt Tan Sri Hisham. Berfikir sambil mengetap-ngetap bibir dengan muka yang sehabis masam! Shasha juga senyap sunyi. Tidak lagi ceria seperti tadi. Dia turut menunjukkan kriteria resah hati. Ini kerana idea Wobert Wiok memang hebat... tidak boleh dinafikan lagi! 

“Saya rasa kumpulan kita akan kalah...” Sazzy sudah mengungkap kata penuh lemah. Belum pun bermula pertandingan secara sah! Itu membuatkan Fazura menghentak meja dengan marah! “Hei! Kita kumpulan The Wannababes yang gah! Tidak mungkin menyerah!” 

“Betul cakap Faz! Mana boleh kita beri laluan mudah pada Wobert Wiok yang macam bagus itu! Kita mesti bersatu. Bila The Wannababes letakkan satu matlamat yang padu... mesti kita jadi nombor satu!” Nana memberi nasihat positif lagi jitu. 

“Tapi kita perlu akur. Kita mesti mengaku. Idea jual cicak tokek itu memberi pulangan yang mewah. Seekor berharga RM250,000. Jual empat ekor sahaja, kumpulan Wobert Wiok sudah menang mudah!” Fasha sendiri mempamerkan riak risau dan tidak tentu arah! 

“Kita pula... berapa banyak kali perlu lakukan rawatan kecantikan remaja bagi menjana RM 1 juta?” Tiba-tiba Sazzy mempersoalkan keberkesanan idea The Wannababes yang sebelum ini terasa hebat hingga ke langit! 

Seketika suasana jadi hening. Kumpulan The Wannababes serentak memegang kepala yang tidak pening. Nyata... dalam hati semua sudah mengaku. Perjalanan mahu jadi jutawan memang berliku! 

“Girls... no worries. I have an idea.” Tiba-tiba kebuntuan dipecahkan oleh suara Fazura yang ceria. Membuatkan semua The Wannababes kembali mengangkat muka. Dengan wajah tertanya-tanya. 

Kini Fazura jadi tumpuan. Dengan wajah penuh senyuman. Dia memberi isyarat supaya semua orang datang dekat. Lantas suaranya berbisik jahat. “Psst... kita boleh sabotaj cicak-cicak itu!” 

“Sabotaj? Sabotaj yang macam mana?” Linda masih kabur-kabur dengan cadangan Fazura. 
“Kita bunuh cicak-cicak itu! Pastikan Wobert Wiok tidak sempat jual dan tidak dapat duit beribu-ribu!” Idea Fazura dibentangkan dengan nada paling rendah. Takut ada pelajar lain yang mencuri dengar. 

“Jika tiada cicak, kumpulan Wobert Wiok tidak akan dapat RM 1 juta! Jadi secara automatik... kitalah juara!” Mata Fazura bersinar-sinar. Terasa ideanya itu bijak benar. 

“Hmm... saya suka idea Fazura yang unik dan tersendiri! It’s nasty. It’s catchy!” Diana turut galak matanya dan mengangkat ibu jari. Tanda memberi sokongan tidak berbelah bahagi. 

“Betul... betul... betul! Saya sudi sertai misi keji ini.” Linda turut sama menyatakan kesediaan diri. Wajahnya penuh rasa iri hati. Tentu mahu memastikan Wobert Wiok dan kumpulan 3K tidak dapat mengecapi kejayaan yang diingini. 

“Saya pun sanggup ikut serta dalam aktiviti rahsia. Membunuh cicak tokek tentu tidak sesusah mana. Paling penting, kita perlu bijak. Pastikan tiada bukti-bukti yang meninggalkan jejak.” Nana turut setuju, tersenyum dengan matanya yang galak. 

Kini semua menunggu persetujuan Fasha, Shasha dan Sazzy. Tiga ahli The Wannababes itu masih terdiam sendiri. Tiada maklumbalas yang diberi. Membuatkan Fazura memainkan peranan mempengaruhi sekali lagi. “Girls! Come on! Kita perlu sepakat dan bersatu hati. Barulah segala yang dilakukan berjaya dan menjadi!” 

“Tapi... saya tidak sampai hati.” Sazzy dengan perlahan memberitahu pandangan peribadi. 

“Huh? Tidak sampai hati?” Fazura berkerut dahi. Sedikit pelik dengan reaksi Sazzy. 

“Yalah, kita perlu bunuh cicak tokek itu. Kita perlu cederakannya. Itu zalim namanya!” Sazzy terkelip-kelip memandang semua. Bagaikan menahan haru yang datang tiba-tiba, matanya jelas berkaca! Sazzy kini bersuara seperti seorang pencinta haiwan dan aktivis alam sekitar yang berjaya! 

“Eh? Setahu saya, bunuh cicak dapat pahala. Saya rasa tidak ada masalahnya! Ia bukan zalim, malah dituntut agama!” Nana cuba mempertahankan idea Fazura. Langsung terlupa, hakikat sebenar niat mereka mahu mensabotaj kumpulan Wobert Wiok... itulah yang berdosa besar! 

“Saya pun tidak sanggup mahu bunuh-bunuh. Cicak tokek itu walaupun menggerutu, ianya haiwan ciptaan Tuhan. Lagipun, kita kurang pengetahuan agama. Cicak spesies apa yang sunat dibunuh? Adakah cicak tokek, cicak domestik di rumah atau cicak padang pasir?” Dengan segera Shasha mempertikaikan info yang disampaikan oleh Nana. Hingga Nana terkelat-kelat wajah, tidak mampu menepis hujah. 

“Lagipun... walau sehebat mana kita mahu menang dalam pertandingan, saya rasa kita tidak patut sampai berbunuh-bunuhan.” Shasha yang paling serius dalam kumpulan... turut menentang cadangan Fazura yang dianggap keterlaluan. 

Fazura jelas menahan rasa. Meluat yang meluap-luap kerana cadangannya ditolak oleh Shasha. Namun dia terpaksa memujuk dengan penuh hikmah. Ini kerana Fasha dan Shasha, dua orang ahli tertinggi dalam kumpulan The Wannababes mesti bersetuju dengan cadangan yang dilontarkannya. Barulah seluruh kumpulan akan menurut sama. 

Lalu Fazura menarik nafas dalam-dalam, sebelum menyuntik pandangan. “Saz... saya bukannya cadangkan kita bunuh cicak-cicak itu dengan pisau atau pistol. Tidak perlu ganas-ganas. Tidak perlu ada pertumpahan darah yang berlebihan! Mungkin kita guna dos racun serangga. Fungsinya macam ubat tidur sahaja. Percayalah, ia langsung tidak menyakitkan!” 

“Atau lebih mudah... bebaskan sahaja cicak-cicak itu kembali ke alam semesta. Buka sangkarnya. Biar terlepas bebas. Wobert Wiok dan kawan-kawannya tentu tidak sempat menangkap!” Cadangan Diana dilihat lebih praktikal, berperikemanusian dan boleh diterima pakai. 

Sebaik mendengar cadangan Diana, Fasha yang senyap sedari tadi sudah tersenyum berseri-seri. “Saya suka cadangan itu! Kita masih lagi boleh mensabotaj kumpulan Wobert Wiok. Tetapi tidak keterlaluan unsur kekejaman dan kezaliman yang digunapakai!” 

Melihat Fasha sudah memberi persetujuan, semua mengangguk mengiakan. Lalu mereka seia dan sekata merangka kertas cadangan mensabotaj cicak-cicak tokek milik kumpulan 3K dengan jayanya! Kertas cadangan itu mampu disiapkan dalam masa lima minit! Ianya menjadi modus operandi rahsia yang hanya diketahui oleh kumpulan The Wannababes. Kini tujuh gadis kembali ke perjumpaan Kelab Jutawan Sri Bangsar dengan hati yang senang! ( dari berita harian)


Haaa......bestkan.....so apalagi pergilah cari buku Jutawan Gedik sekarang....

No comments:

TUDUNG DENIM IRONLESS NARINA

Tudung Tahan Lasak dan IRONLESS. Siapa tak suka kan?  Tudung yang jimat masa untuk bersiap, malah senang untuk dijaga! Paling come...