Klang: Hanya kerana dituduh mencuri kasut bola milik seniornya, seorang pelajar sebuah sekolah sukan di Seksyen 11, Shah Alam terpaksa menanggung derita apabila dipukul, disepak, dipijak dan ditumbuk kira-kira 20 pelajar tingkatan lima sekolah berkenaan hingga separuh nyawa, malam kelmarin.
Dalam kejadian antara jam 11.30 malam hingga 1 pagi itu di blok asrama sekolah berkenaan, mangsa Kamarul Aiman Kamarul Hadi, 13, hanya dapat menahan kesakitan akibat dibelasah menggunakan batang penyapu selain dipijak menggunakan kasut bola tanpa belas kasihan.
Kejadian itu bukanlah kali pertama berlaku kerana sebelum ini Aiman sudah dua kali dipukul kumpulan sama yang masih tidak berpuas hati kerana mendakwa mangsa mencuri kasut bola milik seniornya.
Akibatnya, Aiman kini terlantar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, berikutan kecederaan serius pada rusuk kanan dan tidak boleh bergerak menyebabkan dia ini masih dirawat di hospital.
Bapa mangsa, Kamarul Hadi Che Harun, 37, berkata, dia hanya dimaklumkan kejadian yang menimpa anaknya itu pagi semalam daripada bapa rakan anaknya yang kebetulan tinggal berdekatan sekolah. Menurutnya, dia dimaklumkan Aiman terpaksa melarikan diri mendapatkan perlindungan di rumah rakan anaknya itu yang kebetulan terletak tidak jauh dari sekolah kerana tidak tahan menanggung kesakitan dibelasah.
“Selepas dimaklumkan kejadian itu dan terus bergegas ke rumah rakan Aiman untuk melihat keadaannya. Alangkah terkejut apabila melihat kesan lebam di bahagian belakang badannya itu dan tidak menyangka kejadian sebegini akan berlaku.
RUSUK kanan Kamarul Aiman cedera dibelasah 20 pelajar.
“Saya bergegas membawanya ke klinik kesihatan berhampiran sebelum doktor meminta saya untuk menghantarnya ke HTAR berikutan kecederaan yang dialaminya serius dan dia juga sukar untuk berjalan,” katanya kepada Harian Metro, semalam.
Kamarul berkata, dia kemudian ke sekolah anaknya bagi bertemu pengetua dan mendapatkan penjelasan mengenai kejadian.
Katanya, pihak sekolah sudah memanggil pelajar yang terbabit dalam kejadian itu dan ada antara mereka yang mengaku membelasah Aiman pada malam kejadian.
Beliau berkata, bimbang kejadian sama berulang, dia membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 11, Shah Alam.
“Saya sendiri bertanya adakah benar anak saya itu mencuri kasut bola seniornya. Tapi anak saya menafikan dakwaan itu. Kalau benar anak saya mencuri, bukan ini cara yang betul untuk menjatuhkan hukuman terhadapnya. Tidak dinafikan kejadian ini boleh meragut nyawa anak saya kerana dibelasah seramai 20 orang. Saya juga dimaklumkan Aiman pengsan selepas dibelasah,” katanya. “Jangan kita menghukum seseorang itu sewenang-wenangnya. Kalau benar apa yang didakwa, mereka boleh melaporkan kejadian kepada pihak sekolah dan tindakan disiplin boleh dikenakan ke atas anak saya. Laporan disiplin pihak sekolah juga menunjukkan anak saya tidak mempunyai sebarang masalah,” katanya. Kamarul berkata, dia kini masih menunggu keputusan kesihatan daripada doktor pakar HTAR mengenai status kecederaan anaknya itu dan sekiranya sudah sembuh, anaknya akan kembali bersekolah seperti biasa dan pihak sekolah perlu memberi jaminan kejadian sama tidak akan berulang.
Katanya, kejadian yang menimpa anaknya itu diharap adalah kejadian yang terakhir kerana dia bukan saja tidak mahu ia kembali berulang kepada anaknya malah kepada pelajar lain dan apa yang dibimbangkan kejadian itu akan menggalakkan gangsterism dalam kalangan pelajar.
Sementara itu, Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
✿*~ Kalau suka entry ni, sila tekan LIKE ye...Sharing is caring ^_^ ~*✿
1 comment:
Macam-macam sekarang ni... perkara kecil pun boleh dihukum begitu teruk... rasa risau pula dgn budak2 zaman skrg ni :D
Post a Comment