8.10.12

Wat Siam serah “pokok duit” bina lebuh raya rakyat




TUMPAT: Tanpa menghiraukan sindiran pihak tertentu terhadap projek lebuh raya rakyat, sebaliknya 32 wat Siam di Kelantan mengumpul dana bagi turut sama menjaya pembinaan prasarana tersebut.

Hari ini mencatat satu sejarah apabila wat-wat Buddha terbabit menyerahkan pokok duit yang dikumpul daripada masyarakat Siam kepada Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Wang yang diterima digubah secara kreatif dengan melekatkan duit-duit tersebut pada ranting yang disediakan. Ada not-not yang bernilai RM100, RM50, RM10, RM5 dan RM1.

Wat Machimaran Kampung Bunuhan Tumpat mengumpulkan pokok duit sebanyak RM5,510 manakala Keng Choo Temple, Tanah Merah menderma pokok duit bernilai RM2,000.

Pada Jun lalu NGO tajaan Umno, Gerakan Tukar Kerajaan Pas Kelantan Demi Rakyat (Tukar) menyerah penyodok, kereta sorong dan cangkul buruk kepada kerajaan negeri sebagai sindiran projek lebuh raya rakyat.

Sebaliknya wat-wat Siam dari seluruh Kelantan mengambil inisiatif sendiri mengumpul dana bagi membantu dana pembinaan lebuh raya tersebut, selepas disisih kerajaan pusat sejak 1986.

Ketua Sami Buddha Tumpat II, Phrak Khru Vithat Thammarat dari Wat Machimaran berkata, kalau tidak ada duit macam mana hendak buat jalan.

“Jadi kita pakat buat baik sebelum mati. Buat baik boleh balasan baik dan buat jahat boleh balasan jahat. Oleh itu kita kena pakat buat baik, tanya mahaguru kita (Tok Guru Nik Aziz).

“Jangan cakap banyak kalau tidak ada isi tak guna juga. Macam mahaguru kita tidak cakap banyak sebab dia ada isi,” katanya pada ucapan mewakili wat-wat Siam di majlis penyerahan sumbangan bagi dana pembinaan lebuh raya rakyat di Wat Machimaran di sini.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz melahirkan rasa terharu di atas kesungguhan masyarakat Siam mengumpulkan wang sesama mereka bagi membantu membina lebuh raya rakyat.

“Sebelum ini ada pihak yang membawa kereta sorong dan cangkul buruk ke pejabat saya sebagai mempersendakan projek lebuh raya rakyat.

“Namun hari ini hati saya gembira sangat kerana masyarakat Siam faham kesungguhan kerajaan negeri membina lebuh raya tersebut selepas diketepikan kerajaan pusat,” katanya.

Hadir sama anggota-anggota Exco, Datuk Husam Musa, Datuk Annuar Tan Abdullah, Datuk Abdul Fattah Mahmood, Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim, anggota parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Penyelia Dun Pengkalan Kubur, Wan Rosdi Wan Ibrahim.

Ketibaan Menteri Besar disambut dengan paluan gendang Siam oleh anak-anak muda. Sami yang berada di bawah khemah kemudian bersalam dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Pada majlis itu juga Menteri Besar menyerahkan surat kelulusan milik tanah tapak 12 wat Buddha di Tumpat yang dimohon kepada kerajaan negeri sebelum ini.





✿*~ Kalau suka entry ni, sila tekan LIKE ye... ~*✿

No comments:

TUDUNG DENIM IRONLESS NARINA

Tudung Tahan Lasak dan IRONLESS. Siapa tak suka kan?  Tudung yang jimat masa untuk bersiap, malah senang untuk dijaga! Paling come...