18.11.11

Suami Terlanjur

Soalan:
“Nak tanya ustaz. Kalau suami dah terlanjur dengan seorang perempuan, apa harus saya buat? Suami memang nak menikahi perempuan tu, tapi perempuan tu kafir dan suami tak mampu.”
Jawaban:
Puan yang dikasihi. Insya Allah, saya akan menjawab soalan puan, berasaskan butiran-butiran yang puan berikan di dalam soalan yang puan kemukakan.
Soalan yang puan kemukakan itu sebenarnya mengandungi empat persoalan ceraian.
  1. Bernikah, berkahwin atau mendirikan rumah tangga kerana telah terlanjur.
  2. Hukum berkahwin dengan perempuan bukan Islam.
  3. Hukum berpoligami di dalam keadaan tidak mampu
  4. Apakah sikap yang perlu puan pegang serta tindakan yang perlu puan ambil di dalam keadaan ini.

Bernikah, berkahwin atau mendirikan rumah tangga kerana telah terlanjur.
Saya tidak melihat bahawa bernikah, berkahwin atau mendirikan rumah tangga kerana telah terlanjur adalah sikap yang benar-benar tepat untuk apa yang dianggap sebagai penyelesaian masalah ini.
Mendirikan rumah tangga, mestilah berdasarkan asas yang suci. Supaya rumah yang dibina itu kekal hingga ke syurga. Bukankah Nabi (s.a.w) di dalam hadisnya ada menggesa supaya memilih pasangan yang memahami agama Islam serta mengamalkannya.
Keterlanjuran, bukanlah asas yang kuat untuk suatu ikatan yang sangat suci dan mulia. Malah, ia suatu asas yang sangat rapuh, sangat tidak selamat dan melencong jauh dari asas perkahwinan yang digariskan oleh Islam.
Agama Islam dengan sangat jelas menunjukkan apa yang sebenarnya kita patut buat apabila berlaku keterlanjuran yang dipanggil `zina’ itu; iaitulah sebat seratus rotan bagi yang belum berkahwin; dan rejam, bagi yang sudah berkahwin. Nastaghfurllahi wal `iyazu billah.
Namun, di dalam keadaan di mana hukum Islam tidak dilaksanakan, apa yang sebenarnya patut dilakukan oleh mereka yang telah terlanjur melakukan dosa adalah bertaubat kepada Allah dengan taubat yang benar-benar suci.
Dalam erti kata lain, si yang bertaubat;
  1. Benar-benar menyesali perbuatan salah yang pernah dilakukan itu, sehingga merasa gelisah dan benci setiap kali teringatkannya.
  2. Menambah ilmu di dada, agar terbit keazaman yang kuat untuk tidak lagi melakukan sebarang perbuatan dosa terhadap Allah; dan bukan sahaja hanya berhenti dari dosa zina itu sahaja.
  3. Melengkapkan taubat dengan memperbanyakkan amalan, agar terbukti di sisi Allah bahawa kita benar-benar telah sesal dan insaf.

Hukum berkahwin dengan perempuan bukan Islam.

Di dalam kes suami puan; yang melibatkan perempuan bukan Islam, mengahwininya bukan sahaja tindakan yang tidak tepat, malah ianya tidak dibenarkan oleh agama pun.
Adalah ijma’ di kalangan ulama’, mengharamkan bagi seorang lelaki mengahwini perempuan musyrik melainkan setelah dia beriman; dan begitulah juga sebaliknya.
Usaha memujuknya masuk Islam juga, pun tidak tepat, jika ianya hanyalah kerana dia telah terlanjur dan bukan kerana dia melihat kebenaran dan keindahan Islam itu sendiri. Saya bimbang, ia lebih mengundang fitnah; dari hikmah.
Hukum berpoligami di dalam keadaan tidak mampu
Malah, di sudut kemampuan suami puan juga menjadikan langkah mengahwini wanita pasangan zinanya, sangat tidak relevan. Syari’at Islam meletakkan bahawa haram hukumnya berpoligami bagi lelaki yang `zhon’ atau yakin bahawa dia tidak akan mampu berlaku adil terhadap isteri-isterinya.
Sekali lagi saya nak menyebutkan bahawa saya bimbang, ia lebih mengundang fitnah; dari hikmah.
Apakah sikap yang perlu puan pegang serta tindakan yang perlu puan ambil di dalam keadaan ini?
Pertama
Minta fasakh, jika tidak benar-benar kelihatan rasa insaf yang mendalam pada diri suami puan dan ternyata bahawa dia tidak bersungguh-sungguh di dalam bertaubat.
Di dalam keadaan sebegini, terus hidup bersama suami puan hanya akan membawa kepada keburukkan.
Walau bagaimana pun, soalan yang puan berikan, sudah menggambarkan sikap keinsafan suami puan. Namun, apa yang puan perlu pastikan bahawa adakah suami puan benar-benar insaf dan bersungguh di dalam keinginannya bertaubat. Dalam ertikata lain, merasa bersangatan takut terhadap kemurkaan Allah (s.w.t).
Apa yang lebih penting adalah memastikan bahawa apa yang berlaku ini, tidaklah hanya mahu digunakan sebagai alasan untuk berkahwin lain.
Kedua
Memaafkan dan memberikan suami puan peluang, jika sekiranya dia benar-benar merasa insaf dan mahu bertaubat dengan bersungguh-sungguh.
Lebih-lebih lagi, jika perbuatan zina itu; serta juga lain-lain perbuatan dosa dan maksiat, bukanlah menjadi perkara biasa bagi suami puan. Sebagaimana yang puan sendiri sebutkan bahawa suami puan telah `terlanjur’. Saya memahamkan bahawa maksud terlanjur adalah perbuatan `zina’ yang dilakukan itu; atau lain-lain maksiat, bukanlah `amalan kebiasaan’ suami puan.
Bukan sahaja menyesali serta berazam meninggalkan dosa yang telah dilakukan, tetapi juga menghidupkan suasana beragama di dalam diri dan rumah tangga.
Antara perkara yang sangat penting adalah memastikan bahawa suami, puan sendiri dan anak-anak juga sentiasa mengikuti kuliah-kuliah dan ceramah agama di masjid-masjid, surau-surau atau di mana sahaja kita boleh memperolehinya.
Termasuk di dalam ertikata taubat dari perbuatan zina itu juga adalah menjauhi perkara-perkara yang boleh menyebabkan kita terjebak di dalam perbuatan zina itu.
Perbualan telefon, ber`SMS’, ber`chating’, ber`twitter’, bertemu secara berduaan, bertemu tanpa sebab yang benar-benar perlu, yang sememangnya pula ada kecenderongan untuk tujuan memadu kasih dan sebagainya; hendaklah ditinggalkan sama sekali; samada dengan perempuan yang telah suami puan terlanjur dengannya; atau mana-mana perempuan lain yang bukan muhrimnya.
Ketiga
Puan perlu membuat pemeriksaan kesihatan, terutamanya suami, bagi memastikan keselamatan kesinambungan hubungan sebagai suami isteri dan masa depan zuriat yang bakal dilahirkan.
Keempat
Muhasabah diri puan sendiri. Adakah puan juga menjadi punca keterlanjuran suami. Maksudnya; adakah kemungkinan puan sendiri lalai dan gagal di dalam melayani suami. Walaupun itu bukanlah alasan si suami untuk berbuat jahat, tetapi ianya tetap suatu kelemahan yang sepatutnya diperbaikki.
Puan yang bertanya, inilah apa yang dapat saya berikan atas soalan yang puan kemukakan setelah meneroka beberapa prinsip dan ketetapan yang ada di dalam Islam dari pendapat-pendapat para ulama’ yang terpercaya.
Boleh diperbaikki mana yang patut. Selebihnya, saya serahkan kepada Allah (s.w.t).
Bersama-samalah kita mencari jalan pulang dengan meniti denai-denai Islam, yang telah ditinggalkan jejaknya oleh Rasulullah (s.a.w.)
Kita semua adalah insan yang pernah berdosa terhadap Allah. Apa yang penting adalah keinsafan dan taubat yang suci.
Wallahu a’lam.


No comments:

TUDUNG DENIM IRONLESS NARINA

Tudung Tahan Lasak dan IRONLESS. Siapa tak suka kan?  Tudung yang jimat masa untuk bersiap, malah senang untuk dijaga! Paling come...