17.6.11

Panadol dari tepung gandum - Awas!


Paracetamol palsu dikesan membanjiri pasaran tempatan dengan penjualannya menggunakan bungkusan asal jenama Panadol bersama pelekat hologram tiruan bagi mengelirukan pengguna.

Perkara itu dikesan hasil siasatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mendapati produk terbabit dipercayai menggunakan bahan asas tepung gandum yang tidak mampu melegakan demam pesakit selain didapati pada harga lebih murah.

Penolong Pengarah Penguat Kuasa Farmasi KKM, Aznur Muhammad berkata, setakat ini, pihaknya masih membuat kajian bagi mengenal pasti sama ada produk tiruan itu boleh memberi kesan sampingan kepada orang ramai atau sebaliknya.

“Kami masih melakukan ujian makmal terhadap-ubatan palsu dirampas itu untuk mengesan sama ada wujud campuran bahan kimia lain atau sebaliknya.

“Bagaimanapun, pengguna yang mahu membeliubatan ini boleh memeriksa pelekat hologram digunakan bagi memastikan sama ada ia tulen atau sebaliknya menggunakan alat dibekalkan KKM di setiap kedai terbabit,” katanya.

Beliau berkata, selain paracetamol, ubat-ubatan lain yang turut dipalsukan semata-mata bagi mengaut keuntungan termasuk air cap Badak, minyak angin jenama Vicks dan minyak urut jenama Mustika.

Dalam operasi sekitar Chow Kit, jam 12 tengah hari semalam, Bahagian Farmasi KKM yang membuat pemeriksaan di beberapa kedai jamu dan ubatan menemui lima gudang ubat haram membabitkan nilai rampasan bernilai RM1 juta. -HM

10.6.11

Nasib ibu yang dah tua


Bismillahirahmannirrahim......
baru-baru ini aku berhadapan dengan satu situasi yang amat memilukan
pilu kerana aku juga seorang ibu
bagaimana agaknya nasibku nanti bila aku dah tua
bila aku sudah tidak upaya untuk memasak makanan kegemaran anak2
bila aku sudah lemah kudrat untuk bergerak
bila aku perlu dibantu untuk berjalan
dan jika sampai dah tak mampu lagi untuk ke tandas
siapa yang nak membersihkan berak kencing

aku teringat emak
dulu masa aku kanak-kanak emak cakap kalau makan apa tu berilah nenek rasa sama
masa itu aku hairan
kenapa jajan seperti keropok pun perlu dikongsi dengan nenek
emak kata
nenek dah tua
orang tua ni dia macam budak kecil juga
apa yang kanak2 suka orang tua pun suka
ooooo
patutlah nenek suka je makan apa yang aku makan
tapi aku tak kisah
aku senang berkongsi makanan dengan nenek
mak kata orang tua ni sensitif
perlu jaga hati nenek
okehhhh
itu kenangan aku bersama nenek
kemudian dengan emak pula

aduh.....emak ku tidak sama dengan nenek sifatnya
nenek agak lembut dan pendiam
tapi emak
mulut emak agak bising hehehehe
sabar je lah.....
tapi emak sangaaaat sayang anak-anak
sayangnya emak sampai emak melarang kami mandi laut, berkelah di sungai atau berjalan jauh
emak sangat takut kami ditimpa kemalangan
mak akan bising setiap kali melihat berita anak yang lemas ketika mandi laut
mak kata
kenapa orang ni bodoh sangat suka berseronok kat laut
aduhhh....sabar je lah
kami jawab dah ajal dia mak..
kat mana-mana pun boleh mati
mak kata kalau boleh biar dia yang mati dulu
dia tak sanggup kalau anak yang mati dulu
itu doa emak

bila emak terlantar sakit
aku cuba sedaya upaya menjaga emak sekadar apa yang aku mampu
mujur ada abah yang sangat sabar melayan emak
ada adik beradik yang turut sama membantu
ahhhh
kenangan itu tak perlu dikongsi disini
ia ada dalam hati
alfatihah untuk emak dan nenek 

nak cerita 
kisah ibu tua 
yang dimarahi oleh si anak kerana banyak makan
kerana kini si ibu sudah tidak kuat untuk berjalan
terpaksa bertongkat
kaki tidak dapat menampung badan yang berat
sedihkan
tapi yang paling tidak patut
bila si ibu ditinggalkan 
di rumah emak saudara
disuruh pulang ke kampung dengan orang lain 
sedangkan si anak pergi berjalan bercuti
mungkin malas nak memimpin si ibu
itu tak jadi masalah
tapi perbuatan itu meyakitkan hati tau tak
tak boleh ke beradab sikit
tanya dulu
boleh ke tak boleh
jangan pentingkan diri sendiri je
ini tak blah macam tu je
anak apa la tu
tak pasal2 dah meluluhkan hati seorang ibu

sedar diri sikit
kau aku dan sesiapa 
akan tua juga suatu hari nanti
masa itu kau akan tahu 
bagaimana rasanya
dicampak ke tepi bagai kain buruk oleh anak2

hurmmm
betulkan 
seorang ibu boleh menjaga sepuloh anak dengan penuh kasih sayang
menyuap makan 
memberi perlindungan
pakaian yang cantik2
berjaga malam jika anak sakit
tak kisah pun cuci kencing dan berak anak
tapi
anak-anak
belum tentu lagi
boleh menjaga seorang ibu yang dah tua

ya allah
bagaimana aku nanti?










Banyaknya duit...berjuta-juta!


Saksi: Ubah-suai rumah RM6.5 juta dibayar tunai

Mantan Menteri Besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo membelanjakan RM6.5 juta bagi mengubah-suai rumahnya daripada rekabentuk asal Itali tropikal kepada konsep Bali, kata pereka lanskap yang dipertanggungjawab membuat pengubah-suaian itu, Nasir Ismail, di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Jumlah itu, katanya pada hari ketiga perbicaraan rasuah Khir dibuat dalam bayaran ansuran sebanyak lima kali dan dibayar dengan tunai.

Nasir berkata beliau menerima bayarannya sebanyak RM500,000 dalam bentuk tunai daripada Pengarah Syarikat Ditamas Sdn Bhd Datuk Shamsuddin Hayroni dan Khir, yang ketika itu adalah menteri besar Selangor di kediaman rasminya.

"Saya terima bayaran pendahuluan sebanyak RM250,000 pada Mac 2006 dan kemudian saya ke pejabat pemegang harta (kini insolvensi) untuk uruskan pasport ke Bali untuk membeli barang.

"Pembayaran seterusnya saya terima kira-kira RM500,000... setiap kali pembayaran di mana empat atau lima kali pembayaran diserahkan oleh Pengarah Ditamas Sdn Bhd Shamsuddin Hayroni manakala tujuh atau lapan kali pembayaran diserahkan oleh Dr Khir Toyo sendiri,"
 katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud.

Nasir memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan kes Dr Mohamad Khir, 45, yang didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L daripada Ditamas Sdn Bhd melalui Shamsuddin.

Hartanah itu yang terletak di Seksyen 7 di Shah Alam diperoleh pada harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Dis 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Dr Mohamad Khir, yang juga ADUN kawasan Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di Shah Alam pada 29 Mei 2007 dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Nasir yang diperkenalkan kepada Dr Mohamad Khir oleh ADUN Tanjung Sepat, Datuk Dr Karim Mansor, berkata Shamsuddin dilantik oleh bekas Menteri Besar itu sebagai pengurus dalam urusan kerja-kerja pengubahsuaian banglo tersebut.

Ditanya mengenai siapa pemilik sebenar banglo itu, saksi itu menjawab: "Saya keliru sebab yang beri arahan Dr Mohamad Khir tetapi bila dapat pelan ada nama Ditamas Sdn Bhd. Pelan itu telah diluluskan."

"Semasa awak terima wang, awak tiada akaun bank, jadi bagaimana awak uruskan wang?" soal Masri dan Nasir menjawab: "Saya bayar pada supplier (pembekal) dan sebahagian wang itu saya simpan untuk beri kepada pekerja yang diupah.

"Ada atau tidak pada bila-bila masa awak kemuka sebarang sebut harga pada Dr Mohamad Khir?" soal Masri dan saksi itu menjawab: "Ya. Pada Dr Mohamad Khir sendiri dan bila dirujuk (sebut harga) Dr Mohamad Khir minta kurang sikit."

Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam M Athimulan yang mewakili Dr Mohamad Khir berhubung status muflisnya, Nasir berkata beliau muflis sejak 1998 dan kemudiannya bebas daripada status muflis pada 2008.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohtarudin Baki. -mk

9.6.11

KL niiiii....kawe legend!

pemudasarawak.wordpress.com


adakah sejarah bakal berulang? 

aku dah bosan dengan situasi begini

tak puas2 lagi

tak insaf

tak bersyukur 

gila bola

penting diri sendiri

 wahai suami

baca sini

pesanan buat suami

tapi

aku kena hadapi juga 

beri aku kesabaran  ya Allah

"Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan; dan kepada Kami-lah kamu semua akan dikembalikan" Surah Al-Anbiyaa’: ayat 35 


Tafsiran Ringkas :
Ibnu Katsir dalam memberikan penerangan terhadap ayat ini menyatakan bahawa Allah menguji hambanya dengan musibah pada satu waktu, dan kemudian dengan nikmat pada waktu yang lain, untuk melihat siapa yang bersyukur dan siapa yang kufur, siapa pula yang sabar, dan siapa yang berputus harap.

Ibnu Kathir ada menukilkan kata-kata Ibnu ‘Abbas dalam menafsirkan ayat ini, bahawa Allah menguji hambanya dengan kecelakaan dan kesenangan, dengan kesihatan dan kesakitan, dengan kemewahan serta kemiskinan, dengan perkara yang halal dan apa yang haram, dengan ketaatan dan kemaksiatan, serta dengan hidayah dan kesesatan.

Berdasarkan tafsiran Ibnu ‘Abbas tersebut, dapat kita ketahui bahawa pada setiap orang, berbeza tahap ujian yang dikenakan ke atasnya. 

Ini adalah selari dengan ayat pada surah al-Baqarah apabila Allah menyatakan :"Allah tidak memberi kesusahan seseorang hamba melainkan apa yang terdaya olehnya" [Al-Baqarah: ayat 233].

Dari ayat tersebut dapat kita ketahui bahawa ujian yang dikenakan kepada setiap hamba, adalah bersesuaian dengan apa yang mampu ditanggungnya. Dan setiap orang pula berbeza tahap tanggungannya dan penerimaan mereka terhadap ujian serta dugaan itu.

Manusia yang berhenti pada satu tahap kesusahan, akan menjadi orang yang putus asa dan bernasib malang. Dia akan memandang hidup ini dengan pandangan kosong dan hampa.

Namun, orang yang beriman akan menjadi semakin optimis dan terus berjuang untuk menyelesaikan semua kesulitan itu. Seorang yang beriman meyakini bahwa setiap kesulitan itu pasti mempunyai jalan keluar, dan yang pasti kesulitan itu tidak akan diberikan Allah swt, melainkan sesuai batas kemampuan manusia itu sendiri untuk memikulnya.

Manusia memang harus menanggung resiko kehidupan dunia ini. Kita sewajarnya bersedia menghadapi kesulitan dan kepayahan, karena hidup memang diciptakan untuk itu. Akan tetapi, semua itu bertujuan baik, karena dengan kesulitan-kesulitan itulah, Allah swt meningkatkan derajat manusia itu sendiri. 

Ujian yang diberikan juga adalah untuk mengukur tahap keimanan seorang hamba. Ini telah dibuktikan secara jelas berdasarkan ayat 2-3 surah al’-Ankabut :
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta".

Jelas bahawa ujian yang diberikan adalah untuk menguji keimanan seorang manusia. Jika mempunyai darjah keimanan yang tinggi, maka kita akan menerimanya dengan keredhaan. Maka padanya rahmat Allah serta keredhaan-Nya.



Namun bagi manusia yang lalai serta tidak meredhai ujian yang diberikan ke atasnya. Maka dia sekadar mendapat kemurkaan daripada Allah dan kesesatan yang nyata.

Allah berfirman :Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang sabar. [ Surah Al-Baqarah: ayat 153].

Maka redhalah dengan setiap ujian, bersyukur ketika dikuniakan nikmat dan kesenangan, bersabar apabila ditimpa musibah dan kesakitan, ingat kita akan menemui Allah pada suatu masa nanti. 

terima kasih

p/s: tak tau nak letak tajuk ape....

8.6.11

Ciri-ciri Wanita Ahli Syurga.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Wanita solehah yang beriman dan beramal soleh dan meninggalkan maksiat dan dosa dan mentaati suaminya ketika di dunia adalah wanita ahli syurga yang layak untuk memasuki mana-mana pintu syurga yang dia kehendaki.

Wanita solehah yang telah menjadi isteri wajib taat dan patuh kepada suaminya kerana reda Allah kepada isteri adalah bergantung kepada reda suami kepadanya selagi suami tidak melakukan maksiat dan dosa kepada Allah SWT.

Wanita solehah yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya tersebut akan tetap menjadi pendamping suaminya kelak di syurga dan akan memperoleh kenikmatan yang sama dengan yang diperoleh penduduk syurga lainnya, tentunya sesuai dengan amalnya selama di dunia.

Tentunya setiap wanita muslimah ingin menjadi ahli syurga. Pada hakikatnya wanita ahli syurga adalah wanita yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Seluruh ciri-cirinya merupakan cerminan ketaatan yang dia miliki. Di antara ciri-ciri wanita ahli syurga adalah seperti 
berikut :

1. Bertakwa.

Firman Allah SWT maksudnya : “(Apakah) perumpamaan (penghuni)  syurga yang dijanjikan kepada orang-orang bertakwa yang di dalamnya ada sungai-sungai dari air yang tidak berubah rasa dan baunya, sungai-sungai dari air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai dari khamar (arak) yang lazat rasanya bagi peminumnya, dan sungai-sungai dari madu yang disaring dan mereka memperoleh di dalamnya segala macam buah-buahan dan ampunan dari Rabb mereka sama dengan orang yang kekal dalam neraka dan diberi minuman dengan air yang mendidih sehingga memotong-motong ususnya?” (Surah Muhammad ayat 15)

Bahkan syurga itu sendiri sememangnya disediakan Allah untuk mereka yang bertakwa sebagaimana firmanNya: “Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa”. ( Surah Aali Imran : Ayat 133 )

2. Percaya rukun Iman dan mengamalkannya

Beriman kepada Allah SWT, Malaikat-Malaikat-Nya, Kitab-Kitab-Nya, Rasul-Rasul-Nya, hari kiamat, dan beriman kepada takdir yang baik maupun yang buruk.

Firman Allah SWT maksudnya : “ … dan barangsiapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai sedang mereka kekal di dalamnya dan itulah kemenangan yang besar.” 
(Surah an-Nisaa’ ayat 13)

3. Percaya rukun Islam dan mengamalkannya

Bersaksi bahwa tiada Ilah yang berhak disembah kecuali Allah, bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadan, dan naik haji bagi yang mampu.

4. Taat pada suami dan menjaga kehormatan diri

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya)."
(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)

Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya:“Sebaik-baik isteri ialah yang dapat menyenangkan hati suaminya apabila engkau (suami) melihatnya dan apabila disuruh dia menurut perintahmu, dan dia dapat menjaga kehormatan dirinya dan hartamu ketika engkau tiada di rumah.”(Hadis Riwayat Thabrani)

Seorang lelaki perlu pergi berjihad fisabilillah tetapi wanita jika taat akan suaminya serta menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah akan turut menerima pahala seperti pahala orang pergi berperang fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata.

Isteri yang solehah tidak akan menentang dan meminta cerai kepada suaminya jika suaminya berhajat berpoligami. Kerana berpoligami adalah diharuskan syarak dan isteri akan mendapat ganjaran yang besar apabila merestui dan mengorbankan perasaan hatinya kerana perbuatan suaminya adalah untuk membantu sesama muslim iaitu melindungi dan mengawini seorang wanita muslim yang memerlukan seorang ketua keluarga.

Isteri solehah yang menjaga maruahnya adalah wanita yang sentiasa menghiasi diri dengan akhlak Islam dan sifat-sifat terpuji yang boleh melindungi dirinya dari kemurkaan Allah SWT. Bila ia keluar rumah sentiasa menutup aurat dan menjaga perhiasan diri tidak bersolek berlebih-lebihan dan berwangi--wangian hingga menimbulkan fitnah, menjaga pergaulannya, menjaga lidah dan tidak mengumpat dan mengadu domba. Dia adalah wanita yang berilmu, cerdik dan pintar. Setiap hari mendalami Ilmu Islam, mengkaji tafsir Al- Quran, hadis Nabi, memahami ilmu realiti semasa dan tahu cara-cara mengubati penyakit masyarakat. Di malam hari menjadi seorang abid, membaca Al-Quran, berzikir kepada Allah, sembahyang tahajjud dan berdoa kepada Allah hingga menitiskan air mata.

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :"Sesungguhnya dunia dan seluruh isinya adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah."(Hadis Riwayat Muslim)

5.  Bersifat Ihsan.

Ihsan bermaksud seseorang itu beribadah kepada Allah seakan-akan melihat Allah, jika dia tidak dapat melihat Allah, dia mengetahui bahawa Allah melihat dirinya.

6. Ikhlas kepada Allah SWT

Beribadah semata-mata kepada Allah, tawakkal kepada Allah, mencintai Allah dan Rasul-Nya, takut terhadap azab Allah, mengharap rahmat Allah, bertaubat kepada-Nya, dan bersabar atas segala takdir-takdir Allah serta mensyukuri segala kenikmatan yang diberikan kepadanya.

7. Menghidupkan amar makruf dan nahi mungkar pada keluarga dan masyarakat.

8. Berbuat baik (ihsan)  dan tidak menyakiti hati kepada tetangga, anak yatim, fakir miskin, dan seluruh makhluk, serta berbuat baik terhadap hewan ternak yang dia miliki.

9. Menyambung tali persaudaraan terhadap orang yang memutuskannya, memberi kepada orang yang meminta-minta dan memaafkan orang yang menzaliminya.

10. Berinfak, baik ketika lapang maupun dalam keadaan sempit, menahan marah dan memaafkan manusia.

11. Adil dalam segala perkara dan bersikap adil terhadap seluruh makhluk.

12. Menjaga lisannya dari perkataan dusta, berbohong, mengumpat, membuat fitnah, mengadu domba dan menjadi saksi palsu .

13. Menepati janji dan amanah yang diberikan kepadanya.

14. Berbakti kepada kedua orang tua.(dengan mendapat keizinan suaminya)

15.Menyambung silaturahmi dengan karib kerabatnya, sahabat terdekat dan yang jauh

Sahabat yang dimuliakan,
Sekiranya setiap wanita muslimah beramal dan menghayati 15 ciri-ciri di atas maka dirinya layak menjadi wanita solehah dan melayakkan dirinya pula untuk memasuki syurga Allah SWT seluas langit dan bumi. 

Wanita amat mudah untuk memasuki syurga berbanding kaum lelaki kerana kaum lelaki akan dipertanggungjawabkan untuk mendidik anak-anak dan isterinya dan mengajak masyarakat sekelilingnya kepada Islam . Kaum lelaki juga akan bertanggungjawab kepada keperluan ibu bapanya dan adik-adiknya yang belum berkahwin walaupun dia telah mendirikan rumah tangga.

Oleh itu, wahai kaum Hawa! Sekiranya kalian berhajat memasuki syurga Allah SWT dan kembali kepada Allah dengan mendapat reda-Nya, kalian perlulah melengkapkan 15 ciri-ciri di atas terutama kalian perlulah mentaati suami kalian, bersyukur dengan rezeki yang dibawa balik olehnya, kawal emosi dan perasaan marah kalian kepadanya dan  jangan mudah melepaskan kata-kata yang menyakiti hatinya, insya Allah doa kalian untuk menikmati syurga akhirat akan ditunaikan oleh Allah SWT.fb ustaz abu basyer

Tolonglah awak.....Jangan jadi munafik....



Ciri-ciri Munafik Sejati
“Khabarkan kepada orang-orang yang munafik bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih.” (An-Nisaa’ : 138)

“Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki perbicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Jahanam.” (An-Nisaa’ : 140)

Dalam hal ini amaran Allah Taala amat jelas dan begitu tegas. Allah s.w.t. telah menjanjikan seksaan yang amat pedih sehingga mereka yang munafik ini akan di tempatkan dalam hina-dina. Mereka akan disumbat di dalam neraka yang paling dalam iaitu Jahanam bersama-sama orang-orang kafir.

“Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolongpun bagi mereka.” (An-Nisaa’ : 145)

Kita mesti memperhatikan diri sendiri dengan mengelak daripada terjerumus ke kancah golongan ornag-orang munafik.

Golongan orang-orang munafik ini dapat dikenali melalui cirri-ciri berikut;-

“Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. dan apabila mereka berdiri untuk solat mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya’ (dengan solat dan ibadah lainnya) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali.” (An-Nisaa’ : 142)

1. Dusta
“Pada satu hari Rasullullah s.a.w. pernah bersabda antara maksudnya, “Celaka baginya, celaka baginya, celaka baginya. Iaitu seseorang yang berdusta agar orang-orang bertakwa.” Hadis Riwayat Imam Ahmad Musnad dengan sanad Jayid)

Di dalam kitab Shahihain (Shahih Bukhari dan Muslim), Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Tanda orang munafik ada tiga, salah satunya adalah jika berbicara dia berdusta.”

“Apabila orang-orang munafik datang kepadamu, mereka berkata: “Kami mengakui, bahawa sesungguhnya kamu benar-benar Rasul Allah”. Dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya kamu benar-benar RasulNya; dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya orang-ornag munafik itu benar-benar orang pendusta.” (Al Munaafiqun : 1)

2. Khianat
“Apabila kamu tiada memperhatikan orang-orang munafik yang berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir di antara ahli Kitab; “Sesungguhnya jika kamu diusir nescaya kamipun akan keluar bersama kamu; dan kami selama-lamanya tidak akan patuh kepada siapapun untuk (menyusahkan) kamu, dan jika kamu diperangi pasti kami akan membantu kamu”. Dan Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka benar-benar pendusta. Sesungguhnya jika mereka diusir, orang-orang munafik itu tiada akan keluar bersama mereka, dan sesungguhnya jika mereka di perangi; nescaya mereka tiada akan menolongnya; sesungguhnya jika mereka menolongnya nescaya mereka akan berpaling lari ke belakang, kemudian mereka tiada akan mendapat pertolongan.” (Al Hasyr : 11 – 12)

Sabda Rasulullah s.a.w., “Dan apabila berjanji, dia khianat. Barangsiapa memberikan janji kepada seseorang atau kepada isterinya, anaknya, sahabatnya atau kepada seseorang dengan mudah, kemudian dia mengkhianati janji tersebut tanpa ada sebab uzur syar’ie maka telah hinggap pada dirinya salah satu tanda kemunafikan.”



3. Berlebih-lebihan dalam pertikaian
Rasulullah s.a.w. bersabda, “Dan apabila bertengkar (bertikai), dia melampau.”

“Hai Nabi, berjihadlah (melawan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik itu, dan bersikap keraslah terhadap mereka. tempat mereka ialah neraka Jahannam. Dan itulah tempat kembali yang seburuk-buruknya.” (At Taubah : 73)

4. Ingkar Janji
Sabda Rasulullah s.a.w., “Tanda orang munafik ada 3; jika berbicara dia dusta, jika berjanji dia ingkar, dan jika dipercayai (diberi amanah) dia khianat.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

“Mereka (orang-orang munafik itu) bersumpah dengan (nama) Allah, bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang menyakitimu). Sesungguhnya mereka telah mengucapkan perkataan kekafiran, dan telah menjadi kafir sesudah Islam, dan mengingini apa yang mereka tidak dapat mencapainya; dan mereka tidak mencela (Allah dan RasulNya), kecuali kerana Allah dan RasulNya telah melimpahkan kurniaNya kepada mereka. Maka jika mereka bertaubat, itu adalah lebih baik bagi mereka, dan jika mereka berpaling, nescaya Allah akan mengazab mereka dengan azab yang pedih di dunia dan di akhirat; dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pelindung dan tidak (pula) penolong di di muka bumi.” (At Taubah : 74)

5. Malas Beribadah
Firman Allah s.w.t….Dan apabila mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas…” (An Nisaa’ : 142)

Jika orang munafik pergi ke masjid atau surau, dia menyeret kakinya seakan-akan terbelenggu dengan rantai. Oleh kerana itu, ketika sampai di dalam masjid atau surau dia memilih duduk di shaf yang paling akhir. Dia tidak mengetahui apa yang dibaca imam dalam solat, apatah lagi untuk menyemak dan menghayatinya.

6. Riya’
Di dalam manusia dia solat dengan khusyuk tetapi ketika seorang diri, dia mempercepatkan solatnya. Apabila bersama orang lain dalam satu majlis, dia tampak zuhud dan berakhlak baik. Begitu juga dengan tutur bicaranya yang lemah lembut. Namun jika dia seorang diri, dia akan melanggar hal-hal yang diharamkan oleh Allah s.w.t.

7. Sedikit berzikir
Allah berfirman dalam surah An-Nisaa’ ayat 142, “…Dan apabila mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya’ (dengan solat) di hadapan mereka, dan tidaklah mereka menyebut Allah melainkan sedikit sekali.”

8. Mempercepatkan solat
Mereka adalah orang yang mempercepatkan solat tanpa ada rasa khusyuk sedikitpun. Tidak ada ketenangan dalam mengerjakannya dan hanya sedikit mengingati Allah s.w.t. di dalamnya. Fikiran dan hati tidak bersatu. Dia tidak menghadirkan keagungan, kehebatan dan kebesaran Allah s.w.t dalam solatnya.

Hadis Nabi s.a.w. “Itulah solat orang munafik…lalu mempercepatkan empat rakaat (solatnya)”

9. Mencela orang-orang yang taat dan soleh
Mereka memperlekehkan orang-orang yang taat dengan ungkapan yang mengandungi cemuhan dan celaan. Mereka memperkecil-kecilkan usaha yang dilakukan oleh seseorang untuk mentaati Allah dan RasulNya.

“(Orang-orang munafik) iaitu orang-orang yang mencela orang-orang mukmin yang memberi sedekah dengan sukarela dan (mencela) orang-orang yang tidak memperoleh (untuk di sedekahkan) selain sekadar kesanggupannya, maka orang-orang munafik itu menghina mereka. Allah akan membalas penghinaan mereka itu, dan untuk mereka azab yang pedih.” (At Taubah : 79)

10. Memperolok-olok Al-Quran, As-Sunnah dan Rasullah s.a.w.
Termasuk dalam kategori Istihzaa (berolok-olok) adalah memperolokkan hal-hal yang disunnah Rasulullah s.a.w. dan amalan-amalan lainnya. Orang yang suka memperolok-olok dengan sengaja hal-hal seperti itu, jatuh kafir.

“…Katakanlah; Apakah dengan Allah s.w.t., ayat-ayatNya dan RasulNya kamu selalu berolok-olok? Tiada usah kamu minta maaf, kerana kamu kafir sesudah beriman…” (At Taubah : 65 – 66)

“Dan apabila diturunkan suatu surat, maka di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang berkata: “Siapakah di antara kamu yang bertambah imannya dengan (turunnya) surat ini?” Adapun orang-orang yang beriman, maka surat ini menambah imannya, sedang mereka merasa gembira.” (At Taubah : 124)



11. Bersumpah Palsu
“Mereka menjadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perisai…” (Al Munafikin : 2 ; Al Mujadilah : 16)

Jika seseorang menayakan kepada orang munafik tentang sesuatu, dia langsung bersumpah. Apa yang diucapkan orang munafik semata-mata untuk menutupi kedustaannya. Dia selalu mengumpat dan memfitnah orang lain. Maka jika seseorang itu menegurnya, dia segera mengelak dengan sumpahnya, “Demi Allah, sebenarnya kau adalah orang yang paling aku sukai; Demi Allah, sesungguhnya kau adalah sahabatku”.

“Maka bagaimanakah halnya apabila mereka (orang-orang munafik) ditimpa sesuatu musibah disebabkan perbuatan tangan mereka sendiri, kemudian mereka datang kepadamu sambil bersumpah: “Demi Allah, kami sekali-kali tidak menghendaki selain penyelesaiaan yang baik dan perdamaian yang sempurna”. (An Nisaa : 62)

“Dan mereka (orang-orang munafik) bersumpah dengan (nama) Allah, bahawa sesungguhnya mereka termasuk golonganmu; padahal mereka bukanlah dari golonganmu, akan tetapi mereka adalah orang-orang yang sangat takut (kepadamu).” (At Taubah : 56)

12. Enggan berinfak (membelanjakan harta ke jalan Allah s.w.t. atau bersedekah)
Orang-orang munafik memang selalu menghindarkan diri daripada hal-hal yang menuntut pengorbanan untuk kebaikan ummah. Baik berbentuk harta mahupun jiwa.

Kalaupun mereka berinfak, bersedekah dan mendermakan hartanya, mereka lakukan dengan riya’ dan sum’ah. Mereka lakukan tanpa keikhlasan.

13. Tidak menghiraukan nasib kaum muslimin
Mereka selalu menciptakan kelemahan-kelemahan dalam barisan muslimin. Inilah yang disebut At Takhdzil. Iaitu sikap meremehkan, menakut-nakuti dan membiarkan kaum muslimin. Orang munafik berpendapat bahawa orang-orang kafir lebih kuat daripada kaum Muslimin.

“Mereka (orang-orang munafik) mengemukakan ‘uzurnya kepadamu, apabila kamu telah kembali kepada mereka (dari medan perang). Katakanlah: “Janganlah kamu mengemukakan ‘uzur; kami tidak percaya lagi kepadamu, (kerana) sesungguhnya Allah telah memberitahukan kepada kami beritamu yang sebenarnya. Dan Allah serta RasulNya akan melihat pekerjaanmu, kemudian kamu dikembalikan kepada Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”. (At Taubat : 94)

14. Suka menyebarkan khabar dusta
Orang munafik senang memperbesarkan peristiwa. Jika ada orang yang tergelincir lisannya secara tidak sengaja, maka datanglah si munafik dan memperbesarkannya dalam majlis-majlis pertemuan.

Sebagai contoh mereka berkata, “Apakah kalian tidak mendengar apa yang telah dikatakan di fulan itu?” Lalu dia pun menirukan kesalahan tersebut. Padahal dia sendiri mengetahui bahawa orang itu mempunyai banyak kebaikan dan keutamaan, akan tetapi si munafik itu tidak akan mahu mengungkapkannya kepada masyarakat.

“Sesungguhnya jika tidak berhenti orang-orang munafik, orang-orang yang berpenyakit dalam hatinya dan orang-orang yang menyebarkan khabar bohong di Madinah (dari manyakitimu), nescaya Kami perintahkan kamu (untuk memerangi) mereka, kemudian mereka tidak menjadi tetanggamu (di Madinah) melainkan dalam waktu yang sebentar,” (Al Ahzab : 60)

15. Mengingkari takdir
Orang munafik selalu membantah dan tidak redha dengan takdir Allah s.w.t. Oleh sebab itu apabila ditimpa musibah dia mengatakan, “Bagaimana ini. Seandainya saya berbuat begini, nescaya akan menjadi begini.” Dia pun selalu mengeluh kepada sesama manusia. Sungguh dia telah mengkufuri qadha dan takdir.

“Katakanlah: “Siapakah yang dapat melindungi kamu dari (takdir) Allah jika Dia menghendaki bencana atasmu atau menghendaki rahmat untuk dirimu?” Dan orang-orang munafik itu tidak memperoleh bagi mereka pelindung dan penolong selain Allah.” (Al Ahzab : 17).

16. Mencaci-maki kehormatan orang-orang soleh
Apabila orang munafik membelakangi orang-orang soleh, dia akan mencaci, maki, mengejek-ejek, mengumpat dan menjatuhkan kehormatan mereka di majlis-majlis pertemuan.

Firman Allah s.w.t. “…mereka mencaci kamu dengan lidah yang tajam, sedang mereka bakhil untuk berbuat kebaikan…” (Al Ahzab : 19)

17. Sering meninggalkan solat berjemaah
Apabila seseorang itu segar, kuat, mempunyai waktu luang, dan tidak memiliki uzur say’I. Namun tidak mahu mendatangi masjid atau surau ketika mendengar panggilan azan



18. Membuat kerosakan di muka bumi dengan alasan untuk membuat pembaikan
Firman Allah s.w.t. “Dan apabila dikatakan kepada mereka, janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, dan mereka menjawab, sesungguhnya kami orang-orang yang mengadakan kebaikan. Ingatlah, sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang membuat kerosakan, tetapi mereka tidak sedar.” (Al Baqarah : 11 – 12)

19. Tiada kesesuaian
Secara zahir mereka membenarkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah Rasul Allah, tetapi di dalam hati mereka, Allah telah mendustakan kesaksian mereka. Sesungguhnya kesaksian yang tampak benar secara zahir itulah yang menyebabkan mereka masuk ke dalam neraka. Penampilan zahirnya bagus dan mempesona, tetapi di dalam batinnya terselubung niat busuk dan menghancurkan. Di luar dia menampakkan kekhusyukan sedangkan di dalam hatinya penuh dengan pendustaan.

20. Takut terhadap sebarang kejadian dan peristiwa
Orang-orang munafik selalu diliputi rasa takut. Jiwanya selalu bergoncang, keinginannya hanya mendambakan kehidupan tenang dan damai tanpa disibukkan oleh persoalan-persoalan hidup. Dia selalu berharap, “Tinggalkan dan biarkanlah kami dengan keadaan kami ini, semoga Allah memberikan nikmat ini kepada kami. Kami tidak ingin keadaan kami berubah.” Padahal, keadannya tidaklah lebih baik

Allah berfirman : ““Katakanlah: “Siapakah yang dapat melindungi kamu dari (takdir) Allah jika Dia menghendaki bencana atasmu atau menghendaki rahmat untuk dirimu?” Dan orang-orang munafik itu tidak memperoleh bagi mereka pelindung dan penolong selain Allah.” (Al Ahzab : 17).

21. Beruzur dengan berdalih dusta
Firman Allah s.w.t. “Di antara mereka ada orang yang berkata; Berilah saya izin (tidak pergi berperang) dan janganlah kamu menjadikan saya terjerumus ke dalam fitnah. Ketahuilah bahawa mereka telah terjerumus ke dalam fitnah. Dan sesungguhnya neraka Jahanam itu benar-benar meliputi orang-orang kafir”. (At Taubah : 49)

22. Menyuruh kemungkaran dan mencegah kemakrufan
Mereka menginginkan agar perbuatan keji tersebar di kalangan orang-orang beriman. Mereka mengembar-gemburkan tentang kemerdekaan wanita, persamaan hak, penanggalan hijab/jilbab. Mereka juga berusaha memasyarakatkan nyanyian dan konsert, menyebarkan majalah-majalah lucah dan narkotik

“Orang-orang munafik laki-laki dan perempuan, sebahagian dengan sebahagian yang lain adalah sama, mereka menyuruh membuat yang mungkar dan melarang berbuat yang ma’ruf dan mereka menggenggamkan tangannya. Mereka telah lupa kepada Allah, maka Allah melupakan mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itulah orang-orang yang fasik.” (At Taubah : 67)

“Apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah kamu (tunduk) kepada hukum yang Allah telah turunkan dan kepada hukum Rasul”, nescaya kamu lihat orang-orang munafik menghalangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya dari (mendekati) kamu.” (An Nisaa : 61)

“(Pujukan orang-orang munafik itu adalah) seperti (pujukan) syaitan ketika dia berkata kepada manusia: “Kafirlah kamu”, maka tatkala manusia itu telah kafir ia berkata” “Sesungguhnya aku berlepas diri dari kamu kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah Tuhan semesta alam.” (Al Hasyr : 16)



23. Bakhil
Orang-orang munafik sangat bakhil dalam masalah-masalah kebajikan. Mereka menggenggam tangan mereka dan tidak mahu bersedekah atau menginfakkan sebahagian harta mereka untuk kebaikan, padahal mereka orang yang mampu dan bercukupan.

24. Lupa kepada Allah s.w.t.
Segala sesuatu berbentuk material akan diingat selalu, kecuali Allah s.w.t. Oleh sebab itu, mereka sentiasa ingat kepada keluarga, anak-anak, nyanyi-nyanyian, bernafsu serakah dan segala sesuatu yang berhubung dengan duniawi yang keterlaluan. Dalam fikiran dan batin mereka tidak pernah terlintas untuk mengingat (zikir) kepada Allah s.w.t. kecuali sebagai penyamaran semata-mata.

25. Mendustakan janji Allah s.w.t dan Rasul-Nya
Firman Allah s.w.t., “Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang berpenyakit dalam hatinya berkata; “Allah dan Rasulnya tidak menjanjikan kepada kami selain tipu daya”.

26. Sombong dalam berbicara
Orang-orang munafik selalu sombong dan angkuh dalam berbicara. Mereka banyak bercakap dan suka memfasih-fasihkan ucapan. Setiap kali berbicara, mereka akan selalu mengawalinya dengan mengungkapkan perkataan-perkataan yang menakjubkan agar tampak seperti orang hebat, mulia, berakal dan berpendidikan. Pendek kata apabila berbicara dia sering menunjuk-nunjuk kebesaran diri. Pada hal dia tidak memiliki kemampuan apa pun. Sama sekali tidak memiliki ilmu tersebut bahkan menyerlahkan lagi kemunafikannya.

27. Tidak memahami Ad-Din
Orang-orang munafik ini tidak sama sekali memahami masalah-masalah agama. Dia tahu bagaimana mengenderai kereta dan mengerti perihal mesinnya. Dia juga mengetahui hal-hal remeh-temeh dan pengetahuan yang tidak pernah memberi manfaat kepadanya meskipun tidak mendatangkan mudharat baginya. Akan tetapi apabila ditanyakan tentang persoalan Ad Din (Islam) mereka seringkali mengelak atau tidak boleh menjawab.

“Dan tidakkah mereka (orang-orang munafik) memperhatikan bahawa mereka diuji sekali atau dua kali setiap tahun, kemudian mereka tidak (juga) bertaubat dan tidak (pula) mengambil pengajaran?” (At Taubah : 126)

28. Bersembunyi dari manusia dan menentang Allah dengan Dosa
Orang munafik menganggap ringan perkara-perkara terhadap Alah s.w.t. Menentang-Nya dengan melakukan pelbagai kemungkaran dan kemaksiatan secara sembunyi-sembunyi. Tetapi ketika dia berada di tengah-tengah manusia dia menunjukkan sebaliknya; berpura-pura taat kepada Allah

“Mereka bersembunyi dari manusia, tetapi mereka tidak bersembunyi dari Allah, pada hal Allah berserta mereka, ketika pada suatu malam mereka menetapkan keputusan rahsia yang Allah tidak redhai…” (An Nisaa : 108)

29. Senang dengan musibah yang menimpa orang-orang beriman dan dengki terhadap kebahagian mereka
Orang munafik apabila mendengar berita bahawa seorang yang soleh ditimpa musibah dia akan berasa gembira lalu menyebarluaskan berita dengan perasaan gembira. “Hanya Allahlah tempat memohon pertolongan. Kami telah mendengar bahawa si fulan telah ditimpa musibah begini dan begitu..Semoga Allah memberi kesabaran kepada dia dan kita.” Padahal di dalam hatinya cukup merasa senang dan bangga di atas penderitaan orang beriman tersebut.





Dalam Al-Quran ada ditunjukkan cara untuk menghadapi manusia munafik ini.


1. Tidak menurut keinginan mereka
Antara kaedah yang diterangkan didalam kitab tersebut adalah tidak menurut keinginan mereka. Jika diberi peluang ditakuti kelak akan membuka ruang untuk mereka merosakkan diri kita sendiri.


“Hai Nabi, bertakwalah kepada Allah dan janganlah kamu menuruti (keinginan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana,” (At Ahzab : 1)


2. Bersikap tegas
Allah s.w.t. menyuruh ktia bersikap sentiasa bertegas melawan segala kerenah si munafik itu.


“Hai Nabi, berjihadlah (melawan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik itu, dan bersikap keraslah terhadap mereka. Tempat mereka ialah neraka Jahanam. Dan itulah tempat kembali yang seburuk-buruknya.” (At Taubah : 73)


3. Jangan hiraukan mereka
Biarkan mereka dengan alam mereka. Jika terus-terusan mengganggu, jangan pedulikan. Jika melampaui batas perangilah mereka dengan hikmah dan penuh ketegasan.


“Dan janganlah kamu menuruti orang-orang yang kafir dan orang-orang munafik itu, janganlah kamu hiraukan gangguan mereka dan bertawakallah kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai pelindung.” (Al Ahzab : 48)


4. Berani terhadap mereka
“Orang-orang yang munafik itu takut akan diturunkan terhadap mereka sesuatu surat yang menerangkan apa yang tersembunyi dalam hati mereka. Katakanlah kepada mereka: “Teruskanlah ejek-ejekanmu (terhadap Allah dan Rasul-Nya)”. Sesungguhnya Allah akan menyatakan apa yang kamu takuti itu (At Taubah : 64)


Orang-orang munafik sebenarnya penakut. Muslimin harus menunjukkan sikap berani dan tidak lemah. Oleh itu kita hendaklah sentiasa bersiap-sedia.


Hari ini orang-orang munafik dikenali juga sebagai ‘hipokrit’. Kasih Allah Maha Sempurna hinggakan Allah memberikan amaran kepada golongan munafik ini. “Tidakkah mereka (orang-orang munafik itu) mengetahui bahawasanya barangsiapa menentang Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya neraka Jahanamlah baginya, dia kekal di dalamnya. Itu adalah kehinaan yang besar.” (At Taubah : 61)


“(Keadaan kamu hai orang-orang munafik dan musyrikin adalah) seperti keadaan orang-orang yang sebelum kamu, mereka lebih kuat daripada kamu, dan lebih banyak harta benda dan anak-anaknya daripada kamu. Maka mereka telah menikmati kebahagian mereka, dan kamu telah menikmati bahagianmu sebagaimana orang-orang yang sebelummu menikmati kebahagiannya, dan kamu mempercakapkan (hak yang batil) sebagaimana mereka mempercakapkannya. Mereka itu, amalannya menjadi sia-sia di dunia dan di akhirat; dan mereka itulah orang-orang yang rugi. “ (At Taubah : 69)


Akhir kalam, jadilah mukmin yang sejati dan jauhilah diri daripada terjerumus kancah munafik sebagaimana pesanan Allah s.w.t. melalui kitab-Nya, “dan janganlah kamu menjadi orang-orang (munafik) yang berkata: “Kami mendengarkan, padahal mereka tidak mendengarkan.” (An Anfaal : 21)forumbebas

4.6.11

E. coli bakteria paling bahaya



GAMBAR menunjukkan bakteria E.coli baharu yang dilihat menerusi mikroskop di Institut Penyelidikan Jangkitan di Brunswick, Jerman.


BERLIN/LONDON - Dilaporkan lebih 1,600 orang mangsa telah dijangkiti oleh bakteria E. coli yang telah membunuh sekurang-kurangnya 17 orang dan mungkin menjadi wabak paling bahaya setakat ini dalam sejarah manusia.
Jerman dikatakan menjadi pusat kepada wabak tersebut. Dengan punca sebenar masih kekal misteri, para pengguna di seluruh dunia kini berada dalam kebimbangan.
Dianggarkan seramai 1,624 orang di negara Eropah seperti Austria, Denmark, Perancis, Belanda, Norway, Sepanyol, Sweden, Switzerland, Britain dan Amerika Syarikat (AS) dikatakan sudah jatuh sakit, kemungkinan selepas memakan salad dan sayur-sayuran yang tercemar dari Jerman.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan ia merupakan bakteria E. coli yang baharu.
Angka kematian juga dijangka meningkat apabila Jerman mengemaskini jumlah pesakit.
Bakteria E. coli normal yang menjadi punca kepada masalah keracunan makanan sebenarnya tidak terlalu berbahaya.
Namun, bakteria jenis E. coli yang menyerang di Eropah mempunyai kemampuan untuk kekal pada dinding usus manusia dan mengeluarkan toksin yang dikenali sebagai Shiga (STEC).
Ia kemudian akan mengakibatkan cirit-birit berdarah yang teruk, komplikasi lain seperti kerosakan ginjal dan boleh membawa maut.
Seorang pakar, Robert Tauxe dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS yang telah bekerjasama dengan pegawai kesihatan Jerman sejak minggu lalu mengakui E. coli itu sebagai jenis yang paling berbahaya jika dinilai daripada jumlah kematian.
Di Berlin, Canselor Jerman, Angela Markel telah mengarahkan satu satu pasukan khas untuk mengesan punca E. coli ditubuhkan.
Para saintis juga bertungkus-lumus mengenal pasti punca pencemaran, sama ada tahap kebersihan yang teruk di ladang, transit atau di kedai di Jerman sebagai punca kewujudan bakteria baharu itu.
Mengulangi amaran supaya rakyatnya tidak memakan sayur-sayuran mentah, para pegawai kesihatan Jerman menyatakan mereka telah merekodkan 199 kes terbaharu wabak tersebut dalam tempoh dua hari.
Angka itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang dijangkiti kepada 1,733 orang.
Wabak itu juga membuatkan hubungan perdagangan antara negara Eropah menjadi tegang.
Rusia mengundang kritikan daripada Kesatuan Eropah (EU) selepas mengharamkan import sayur-sayuran mentah dari Eropah dengan mendakwa Belgium gagal menangani krisis tersebut.
Sebelum ini terdapat dakwaan bahawa bakteria itu berpunca daripada timun yang tercemar dari Sepanyol sebelum puncanya yang sebenar dari Jerman diketahui. - Agensi

TUDUNG DENIM IRONLESS NARINA

Tudung Tahan Lasak dan IRONLESS. Siapa tak suka kan?  Tudung yang jimat masa untuk bersiap, malah senang untuk dijaga! Paling come...